Kerajaan wajar nilai semula akta berkaitan judi
ALOR SETAR - Usaha untuk membanteras judi bukan sahaja melibatkan penutupan premis, sebaliknya perlu melihat semula akta-akta berkaitan di peringkat Persekutuan.
Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, kerajaan Pusat, negeri serta pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu mengadakan rundingan untuk merangka dasar menyeluruh bagi menangani gejala judi dalam negara.
“Ia perlu dilakukan segera bagi mengelak industri judi berlesen berubah kepada operasi bawah tanah melibatkan kegiatan rasuah yang sukar dikawal.
"Walaupun kerajaan negeri mempunyai kuasa ke atas lesen premis judi, namun kerajaan Persekutuan juga harus memainkan peranannya,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Sabtu.
Mohd Azmi mendakwa, judi secara haram sangat meluas dalam negara selain judi berlesen yang dikeluarkan dan ia perlu ditangani secara komprehensif.
“Pertaruhan berbentuk judi dalam pelbagai medium seperti judi tikam-tikam, judi dalam rumah, judi mesin slot, judi dalam talian, judi di tempat bebas dan tertutup.
"Semua itu masih berleluasa sekiranya kesan buruk akibat aktiviti judi tidak difahami.
“Biarpun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan kekerapan cabutan khas nombor ramalan dikurangkan kepada lapan kali berbanding 22 kali setahun yang diluluskan sebelum ini, ia tidak mencukupi,” ujarnya.
Mohd Azmi berkata, walaupun kerajaan mengutip cukai daripada lesen yang dikeluarkan untuk perniagaan judi mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953, namun perolehan daripada judi tidak setimpal dengan kos sosial yang ditanggung kerajaan dan masyarakat.“Gejala judi tidak mendatangkan manfaat kepada masyarakat mahupun negara. Masyarakat perlu dididik agar kefahaman dan kesedaran terhadap kesan negatif dan sosio-ekonomi akibat industri judi dapat dipertingkatkan,” katanya lagi.
Tambah Mohd Azmi, isu tersebut harus ditangani secara menyeluruh melibatkan penguatkuasaan undang-undang, pencegahan, pendidikan kesedaran dan pengemblengan semua peringkat untuk menolak budaya judi hingga ke akar umbi.
Semua operasi premis perjudian dan loteri di Kedah ditamatkan sepenuhnya tahun ini susulan keputusan kerajaan negeri tidak lagi memperbaharui lesen perjudian yang tamat tempoh pada 31 Disember lalu.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan tidak akan berkompromi dalam isu tersebut kerana judi hanya mendatangkan kerosakan dalam masyarakat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!