Payung Rahmah bantu rakyat tangani kos sara hidup

Salahuddin (kanan) hadir pada Majlis Kesyukuran Amanah Parlimen Pulai pada malam Sabtu.
Salahuddin (kanan) hadir pada Majlis Kesyukuran Amanah Parlimen Pulai pada malam Sabtu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Payung Rahmah akan diperkenalkan kerajaan sebagai inisiatif menangani peningkatan kos sara hidup dalam kalangan rakyat terutama golongan B40.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, inisiatif Payung Rahmah akan diperincikan lebih lanjut dalam ucapan Tahun Baharu KPDN di Putrajaya pada Selasa.

"Payung Rahmah berfokus kepada golongan B40 dan miskin tegar. Sekiranya tidak dibantu, kita bimbang golongan ini akan terkesan dengan keadaan ekonomi global yang dijangka begitu serius tahun ini.

"Program ini membabitkan empat elemen iaitu Bakul Rahmah, Kafe Rahmah, Jualan Murah Rahmah dan Barangan Rahmah bagi menyantuni golongan B40. Menerusi Barangan Rahmah terdapat pakej 10 barangan asas yang dijual pada harga lebih rendah untuk golongan B40.

"Manakala Kafe Rahmah pula adalah khusus bagi pelajar universiti bagi mendapatkan makanan pada harga lebih murah dengan pelajar susah akan dibantu," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Kesyukuran Amanah Parlimen Pulai di sini, pada malam Sabtu.

Pada 31 Disember lalu, Salahuddin yang juga Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) dilaporkan mengadakan perbincangan bersama beberapa pemain industri termasuk pengedar runcit negara bagi melaksanakan inisiatif Bakul Rahmah (Kasih Sayang), khas untuk mereka yang memerlukan dalam kalangan B40.

Dalam pada itu, Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Jeram berkata, kerajaan telah menetapkan beberapa pelan jangka pendek, sederhana dan panjang dalam mendepani isu kos sara hidup rakyat.

"Selain Payung Rahmah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Mohd Rafizi Ramli sedang menyiapkan pelan jangka pendek, sederhana dan jangka panjang sebagai strategi menyediakan negara mendepani isu kos sara hidup yang dijangka lebih serius tahun ini.

Artikel Berkaitan:

"Di samping itu, Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan sentiasa diadakan dari semasa ke semasa membuktikan kerajaan serius mahu mendepani isu kos sara hidup dihadapi rakyat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!