Jangan ambil kesempatan terhadap orang asli - Sultan Johor

Sultan Ibrahim mengadakan pertemuan bersama Azmi, Yahya dan wakil Jakoa baru-baru ini. - Foto RPO
Sultan Ibrahim mengadakan pertemuan bersama Azmi, Yahya dan wakil Jakoa baru-baru ini. - Foto RPO
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, kerajaan negeri sentiasa mengambil berat pembangunan sosioekonomi dan kebajikan masyarakat orang asli.

Menerusi muat naik di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, baginda bertitah, masyarakat orang asli bukannya golongan terpinggir, sebaliknya Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) sentiasa memastikan golongan berkenaan terus membangun dan maju.

“Pada masa sama, Jakoa juga perlu lebih sentiasa peka khususnya berkaitan pentadbiran penempatan atau perkampungan masyarakat orang asli di mana tok batin atau penghulu turut memainkan peranan penting.

“Selain pembangunan masyarakat di sesuatu perkampungan menjadi keutamaan, pada masa sama Jakoa juga perlu memberi perhatian dalam pemilihan tok batin. Ia (pemilihan) perlu dipastikan dalam kalangan suku kaum, bukannya orang luar.

“Tok batin yang dipilih juga perlu tahu fungsi serta peranan mereka. Pada masa sama, jangan ada pihak mengambil kesempatan dengan menghasut masyarakat orang asli,” titah baginda.

Baru-baru ini, Sultan Ibrahim mengadakan pertemuan bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Seri Azmi Rohani Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad dan wakil daripada Jakoa Johor serta Jakoa daerah Johor Bahru.

Baginda bertitah, masyarakat berbilang kaum yang hidup bersatu-padu menjadi tunjang perpaduan Bangsa Johor selama ini.

“Atas sebab itulah, perlunya peraturan-peraturan tertentu bagi mengawal keharmonian dan kesejahteraan ini, termasuk berkaitan pembinaan rumah-rumah ibadat.

Artikel Berkaitan:

“Saya menyeru semua rakyat mematuhi peraturan-peraturan ini demi kesejahteraan sejagat,” titah baginda.

Sultan Ibrahim juga menasihatkan masyarakat orang asli supaya sentiasa menjaga kebersihan dan keindahan penempatan masing-masing bertujuan memastikan aspek kesihatan sentiasa terjaga.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!