Lebih 60 peratus pesara polis hidap penyakit kronik
SHAH ALAM - Lebih 60 peratus pesara polis di Selangor menghidap penyakit kronik termasuk melibatkan pesakit yang terlantar.
Timbalan Pengerusi Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) Selangor, Zulkepli Mohd Ali Piah berkata, jumlah tersebut melibatkan mereka yang berumur 60 tahun ke atas.
Menurutnya, seramai 5,400 daripada 9,000 pesara polis yang berdaftar menerusi PBPM Selangor menghidap penyakit tiga serangkai terdiri daripada sakit jantung, kencing manis dan darah tinggi.
"Selain itu, terdapat sebilangan mereka yang mengalami masalah saraf sekaligus memerlukan rawatan perubatan di hospital dan alternatif," katanya.
Beliau berkata demikian ketika program bersama Pertubuhan Sentuhan Kasih Al-Qalam (Al-Qalam) di Seksyen 35 di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Penolong Kanan Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Wilayah Tengah, Wan Sulaiman Md Daud dan Presiden Al-Qalam, Datuk Seri Dr Baharudin Abu.
Dalam pada itu, Zulkepli berkata, jalinan kerjasama dengan pusat rawatan alternatif dan tradisional turut dianggap keperluan kepada pesakit sebagai ikhtiar perubatan.
"Ada ahli dan keluarga mereka memilih untuk berubat secara alternatif terutama yang menghidap masalah saraf.
"Kerjasama dengan pusat rawatan seumpamanya memudahkan lagi urusan mereka selain perubatan di hospital sedia ada," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, tahap kesedaran untuk menyertai PBPM Selangor masih lagi rendah di negeri ini.
"Ada sebilangan bekas anggota yang tidak mahu mendaftar sebagai ahli kerana mahu menceburi bidang yang lain dan mahu meninggalkan terus bidang kepolisan.
"Sekiranya menjadi ahli, sekurang-kurangnya kita boleh bergiat aktif dalam aktiviti persatuan, berkongsi berkaitan ilmu pengetahuan dan sebagainya," katanya.
Tambahnya, tidak ada satu kerugian sekiranya menyertai sebagai ahli persatuan.
"Saya tegaskan, jadilah ahli PBPM, biarpun kita tidak lagi berkhidmat, namun kita boleh sumbangkan segala buah fikiran kita kepada pucuk pimpinan persatuan.
"Perlu diingat ayat yang paling penting apabila kita menyertai PDRM, sekali polis selamanya tetap polis," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!