Subjek keusahawanan galak minat berniaga
MACHANG - Subjek keusahawanan yang melibatkan semua fakulti di Universiti Teknologi Mara (UiTM) berupaya menjadi satu platform terbaik bagi mencungkil bakat penuntut dalam bidang perniagaan sekali gus melahirkan generasi usahawan yang berdaya saing.
Timbalan Rektor Penyelidikan, Jaringan Industri dan Alumni, UiTM, Dr Syerina Azlin Md Nasir berkata, sehingga kini, UiTM Kelantan berjaya melahirkan kira-kira 50 usahawan bumiputera yang berjaya dalam pelbagai sektor termasuk pertanian, kecantikan dan pengiklanan.
Menurutnya, jumlah tersebut tidak termasuk penuntut-penuntut yang menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan sebagai pendapatan tambahan atau baharu berjinak-jinak dalam bidang itu.
"Pendedahan awal tersebut penting dalam usaha memberi dorongan dan tunjuk ajar kepada anak-anak muda bagi menerokai dunia perniagaan serta tidak bergantung kepada makan gaji semata-mata.
"Semua penuntut UiTM akan diberi pendedahan kepada dunia perniagaan melalui subjek keusahawanan yang mana, mereka bukan sahaja diajar secara teori tetapi juga secara praktikal dengan menjayakan pelbagai program keusahawan yang dilaksanakan universiti.
"Graduan harus mempersiapkan diri dengan apa yang disebut sebagai 'skill set' atau kemahiran yang perlu dan bersesuaian agar mampu bersaing dan menapak maju ke hadapan dengan tidak bergantung kepada diploma dan ijazah semata-mata.
Dunia perniagaan menawarkan ruang yang luas asalkan kita bijak menerokainya," katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Pembukaan Karnival Keusahawanan dan Akademik di UiTM Kelantan, di sini, hari ini.
Hadir sama pada majlis tersebut, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar, Dr Shahsuzan Zakaria dan Penasihat Program Karnival Akademik dan Keusahawanan, Siti Aswani Mohd Ghazali.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!