'Ingatkan kayu, rupanya mayat'

Ahmad Saifuddin menunjukkan mayat mangsa terdampar di Pantai Cherating pada pagi Ahad kepada pihak polis.
Ahmad Saifuddin menunjukkan mayat mangsa terdampar di Pantai Cherating pada pagi Ahad kepada pihak polis.
A
A
A

KUANTAN - Seorang pesara terkejut ketika menemui mayat seorang lelaki yang terdampar di pantai Cherating, awal pagi Ahad.

Ahmad Saifuddin Ahmad Zainuddin, 58, berkata, ketika itu dia bersama isteri sedang berjoging di pantai terbabit kira-kira jam 7 pagi.

"Nampak dari jauh macam kayu, jadi saya datang dekat tengok rupanya orang (mayat)," katanya pada Ahad.

Dia yang menetap di Cherating Perdana mengakui tidak tahu kejadian individu lemas dan masih hilang di kawasan berhampiran.

Ahmad Saifuddin memberitahu, dia terpaksa menunggu polis tiba bagi mayat mangsa tidak ditarik ombak kembali ke laut.

"Rupanya kita tidak perasan, semua orang tengah (misi mencari dan menyelamat) mangsa, kami jumpa mayat itu di sini.

"Tapi air masa itu sedang pasang, ombak pun besar seperti hendak tarik.Saya pun tahan supaya ia (mayat) tidak masuk semula ke laut. Tapi muka mangsa terlekat dalam pasir," ujarnya yang menemui mangsa dalam keadaan tertiarap dengan memakai singlet celoreng dan seluar pendek.

Pada Sabtu, seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, Adam Ridhuan Abdul Rejab, 19, dikhuatiri lemas ketika mandi bersama rakan di pantai berkenaan kira-kira jam 1.30 petang.

Artikel Berkaitan:

Mangsa bersama 19 lagi rakan tiba di pantai berkenaan kira-kira jam 9 pagi untuk beriadah sambil menghabiskan masa cuti hujung minggu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asistem Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu mengesahkan mangsa ditemui orang awam ketika beriadah di pesisiran pantai Cherating.

Menurutnya, mayat Adam Ridhuan ditemui kira-kira 8.6 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan lemas.

"Mangsa dilaporkan hilang pada semalam telah ditemui di belakang pusat MARDI (Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia), Cherating.

“Ahli keluarga mangsa telah membuat pengecaman awal dan mengesahkan identiti mangsa,” katanya.

Wan Mohd Zahari berkata, pemeriksaan awal ke atas badan mangsa tidak menemui sebarang kecederaan dan perkara mencurigakan berunsurkan jenayah.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!