Dadah RM1.4 juta dirampas, pelajar 16 tahun ditahan
KOTA BHARU - Seorang pelajar berusia 16 tahun termasuk tiga lelaki ditahan bagi membantu siasatan selepas polis merampas dadah jenis ketamin bernilai RM1.4 juta dalam sebuah kereta yang ditinggalkan di Kampung Laloh, Kuala Krai pada Jumaat.
Bagaimanapun kesemua suspek berusia antara 16 hingga 30 tahun itu diberkas dalam serbuan berasingan di sekitar Rantau Panjang.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, sebelum itu pada jam 8 pagi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang mengadakan sekatan jalan raya telah ternampak sebuah kereta jenis Perodua Myvi berhenti secara mengejut.
"Kemudian, pemandu serta penumpang telah bertindak melarikan diri dengan meninggalkan kereta terbabit.
"Semasa pemeriksaan dibuat telah menemui dua guni putih dan satu beg pakaian di dalam bonet kereta berkenaan. Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat 26 bungkusan plastik cerah yang setiapnya berisi debu putih disyaki dadah jenis ketamin seberat 25.50 kilogram (kg)," katanya semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kelantan (IPK) di sini pada Ahad.
Menurut beliau, susulan rampasan tersebut empat tangkapan berasingan telah dibuat bagi membantu siasatan.
Muhamad Zaki berkata, kesemua suspek yang ditahan tidak mempunyai rekod lampau serta negatif dadah hasil ujian saringan air kencing.
Katanya, hasil semakan mendapati remaja berusia 16 tahun dari Gual Periok itu masih bersekolah dan telah direman bermula Sabtu hingga Rabu ini.
"Manakala suspek berusia 17 hingga 30 tahun yang merupakan penganggur direman bermula Ahad hingga Sabtu.
"Suspek keempat berusia 19 tahun juga seorang penganggur direman pada Sabtu hingga Jumaat," katanya.
Beliau memberitahu, dadah tersebut dipercayai diseludup dari negara jiran untuk pasaran luar Kelantan.
Menurut Muhamad Zaki, siasatan awal mendapati ini bukan kali pertama dadah jenis tersebut dibawa dari negara jiran untuk pasaran Kuala Lumpur.
Ujarnya, kereta yang digunakan supek merupakan kenderaan sewa.
"Saya menasihatkan pengusaha kereta sewa supaya berhati-hati menerima pelanggan terutama golongan remaja yang mencurigakan.
"Pada masa yang sama, pengusaha juga disaran mengemukakan dokumen perjanjian berkait perkara itu bagi memudahkan pembuktian jika berdepan situasi seperti ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!