Kantoi angkut ketum guna lori simen
PASIR MAS - Tindakan dua lelaki cuba mengaburi mata pihak berkuasa dengan membawa daun ketum bernilai RM20,000 menggunakan sebuah lori simen terbongkar selepas ditahan polis di Jalan Batu Enam, Batu Melintang, Jeli pada Sabtu.
Perbuatan itu dikesan selepas polis melihat kenderaan berat tersebut dipandu dalam keadaan mencurigakan pada jam 4 pagi.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, hasil pemeriksaan yang dijalankan ke atas kenderaan itu membawa kepada penemuan 200 bungkusan hitam yang mengandungi daun ketum seberat 2,000 kilogram.
"Kami juga menjumpai satu botol plastik lut sinar yang mengandungi cecair keperangan disyaki air ketum.
"Kita telah tahan kedua-dua suspek yang berusia 28 tahun bagi membantu siasatan berkait dengan rampasan tersebut," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kelantan (IPK) di sini pada Ahad.
Menurut beliau, kedua-dua suspek juga didapati positif dadah hasil ujian saringan air kencing dan direman empat hari bermula Sabtu hingga Selasa.
Ujarnya, hasil siasatan awal mendapati bekalan daun ketum tersebut diambil dari negeri di utara untuk pasaran tempatan.
Katanya, kes tersebut disiasat bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!