Pensyarah rugi RM1.3 juta ditipu 'Inspektor Ku'

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang pensyarah di sebuah institut pengajian tinggi awam (IPTA) kerugian RM1.3 juta selepas menjadi mangsa penipuan Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai polis.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, laporan daripada wanita berusia 41 tahun itu diterima Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri pada Sabtu.

Menurutnya, mangsa mendakwa dihubungi individu yang memaklumkan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum disambungkan kepada pegawai polis bernama Inspektor Ku dari Sabah.

"Individu berkenaan mendakwa, mangsa terlibat dalam laporan pemalsuan Covid-19 di Sabah dan kemudiannya menyatakan mangsa terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram dan dadah.

"Inspektor Ku menawarkan untuk membantu mangsa membuka akaun bank dan mengarahkan mangsa menyerahkan kata laluan online bank serta mendaftarkan nombor telefon bimbit yang diberikan.

"Seterusnya mangsa telah memindahkan semua wang ke dalam akaun tersebut kononnya untuk simpanan sementara kes masih disiasat. Sebanyak RM1.3 juta telah dipindahkan antara Oktober hingga November ke akaun tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pada Ahad.

Menurut Kamarul Zaman, mangsa sedar dirinya ditipu selepas membuat semakan pada awal bulan ini dan mendapati kesemua wang dari akaun telah dipindahkan ke beberapa akaun tidak dikenali.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati apabila menerima panggilan mendakwa terlibat dalam aktiviti jenayah dan juga mengarahkan wang dipindahkan ke akaun lain.

"Polis tidak akan berdiam diri dan kita menyarankan orang ramai memuat naik aplikasi Whoscall yang membolehkan kita mengesan panggilan daripada scammer," katanya.

Sementara itu, Kamarul Zaman turut mendedahkan seorang lelaki berusia 49 tahun menjadi mangsa penipuan wakil penjual bagi sebuah syarikat secara dalam talian di Johor Bahru, baru-baru ini.

"Mangsa ditipu oleh syarikat berkenaan yang menjanjikan keuntungan mudah dengan melaburkan sejumlah wang. Mangsa pada mulanya melabur wang sebanyak RM800 dan mendapat keuntungan sebanyak RM2,100.

"Disebabkan terpedaya dengan keuntungan mudah yang diperoleh itu, mangsa seterusnya melabur sebanyak RM85,000. Kemudiannya menyedari dirinya ditipu selepas tidak mendapat sebarang komisen," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!