Tingkat biosekuriti, bendung demam babi Afrika

Dr Suratan (dua dari kanan) menyampaikan penghargaan kepada penyumbang makanan haiwan, Presiden Kelab Kucing Malaysia, Khalid Rashid (dua dari kiri).
Dr Suratan (dua dari kanan) menyampaikan penghargaan kepada penyumbang makanan haiwan, Presiden Kelab Kucing Malaysia, Khalid Rashid (dua dari kiri).
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) menyarankan kesemua penternak babi di negara ini supaya meningkatkan kawalan biosekuriti dan kesihatan di ladang bagi membendung jangkitan wabak demam babi Afrika atau African Swine Fever (ASF).

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JPV, Dr Suratan Kamarudin berkata, saranan itu paling utama diberikan kepada negeri berisiko seperti Pulau Pinang, Selangor, Perak dan Johor.

“Negeri-negeri ini melibatkan penternakan babi berkapasiti besar.

“Berdasarkan pengalaman lepas, jangkitan wabak yang berlaku akibat dibawa dari luar ladang dan kawalan keselamatan yang tinggi boleh mengekang bawaan penyakit daripada masuk menjangkiti ternakan,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Penyerahan Bantuan Makanan Haiwan Peliharaan Kucing dan Anjing Pasca Banjir di Pejabat Veterinar negeri di sini pada Ahad.

Menurut Dr Suratan, antara punca bawaan wabak termasuk daripada sisa makanan yang dibawa dari luar ke dalam ladang ternakan untuk makanan babi.

“Setakat ini, JPV bertindak menutup dua ladang ternakan babi di Pulau Pinang susulan dua kes positif ASF yang ditemukan dan kerja-kerja pelupusan ternakan sedang berjalan.

“Belum ada laporan dari negeri-negeri lain dan pemantauan tegas dilakukan oleh JPV untuk mengekang penularan,” katanya.

Pada Jumaat, akhbar melaporkan jangkitan ASF mula dikesan di sebuah ladang babi di Kampung Valdor, Sungai Bakap, di Seberang Perai Selatan.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan data bancian JPV negeri terdapat 124 ladang ternakan babi di Pulau Pinang membabitkan jumlah keseluruhan 267,348 ekor babi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!