Kanak-kanak melecur main api, ibu bapa disiasat abai anak
JOHOR BAHRU - Polis Johor sedang melengkapkan kertas siasatan membabitkan ibu bapa melakukan pengabaian terhadap anak mereka di Kampung Parit Kuchi, Pontian pada 30 Disember lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kertas siasatan tersebut akan diserahkan kepada Pendakwa Raya dalam masa terdekat untuk tindakan selanjutnya.
Jelasnya, ibu bapa mangsa yang berusia 36 dan 33 tahun itu telah ditahan pada Rabu untuk siasatan lanjut dan kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis.
"Kertas siasatan sedang dilengkapkan dan akan diserahkan kepada Pendakwa Raya dalam masa terdekat. Mangsa yang kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dilaporkan stabil.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Ahad.
Rabu lalu, seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun dilaporkan melecur hampir keseluruhan badannya akibat bermain api pada timbunan sampah berhampiran rumahnya di Kampung Parit Kuchi.
Bagaimanapun, setelah lima hari berlalu mangsa yang berusia sembilan tahun tidak dibawa ke hospital oleh ibu bapanya bagi mendapatkan rawatan.
Perkara itu terbongkar selepas polis menerima makluman daripada kenalan ibu mangsa yang mengetahui keadaan kanak-kanak itu melalui gambar yang dikongsi di kumpulan WhatsApp keluarga.
Mengulas perkara itu, Kamarul Zaman berkata, berdasarkan siasatan, ibu bapa berkenaan berpandangan ubat yang dibeli mereka di farmasi sudah memadai untuk merawat luka anak mereka yang melecur.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!