Insiden 'panahan' laser warnai Bukit Jalil

Muka Pansa 'ditembak' laser hijau ketika aksi separuh akhir pertama Piala AFF yang menemukan Malaysia dan Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu. Foto Agensi.
Muka Pansa 'ditembak' laser hijau ketika aksi separuh akhir pertama Piala AFF yang menemukan Malaysia dan Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu. Foto Agensi.
A
A
A

IBARAT nila setitik, rosak susu sebelanga. Pepatah sesuai menggambarkan insiden panahan pancaran laser ke muka pemain Thailand dalam saingan separuh akhir pertama Piala AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada Sabtu.

Tembakan laser hijau itu merancakkan perdebatan di media sosial melibatkan peminat bola sepak serantau termasuk negara jiran, Indonesia.

Ini kerana Indonesia pernah mengalami insiden sama di stadium keramat Harimau Malaya itu pada final Piala AFF 2010.

Insiden itu mengundang bantahan penyokong Indonesia yang menuding jari menyalahkan pancaran laser itu sebagai punca kekalahan skuad Garuda kepada Malaysia.

Setelah 12 tahun berlalu ia kembali hangat apabila segelintir penyokong Harimau Malaya 'memanah' pemain Thailand pada separuh kedua perlawanan.

Kilauan laser itu dilihat tepat ke muka pertahanan tengah Thailand, Pansa Hemviboon.

Dia sebelum itu terlibat perlanggaran dengan penjaga golnya sendiri dalam usaha mengeluarkan bola dari kawasan penalti.

Turut berada dalam kotak penalti ketika itu, Darrek Lok dan Dominic Tan yang sempat menanduk bola sebelum menerjah gawang lawan, namun gol tersebut tidak disahkan oleh pengadil dari Korea Selatan, Kim Dae Young.

Artikel Berkaitan:

Keputusan itu menimbulkan amarah penyokong Harimau Malaya yang mencecah 63,000 orang.

Malah ada segelintir penyokong yang turut membaling botol ke penjuru padang berdekatan kawasan gol skuad Gajah Perang.

Mungkin tindakan Pansa yang dilihat seperti berlakon mengalami kecederaan mengundang rasa tidak puas hati penyokong, namun tayangan video menunjukkan dua pemain negara tidak menyentuh pemain lawan ketika berebutan bola di udara itu.

Pun begitu, 'tembakan' laser tersebut tidak seharusnya berlaku kerana ia boleh mengundang padah kepada pasukan tuan rumah yang kemungkinan berdepan denda.

Ia juga mengundang imej tidak baik kepada reputasi 'ekor' Harimau Malaya yang terkenal dengan tingkah laku beradab.

Apa pun diharapkan ia tidak berulang atas semangat kesukanan yang melangkau sempadan bangsa, negara, agama, budaya dan warna kulit.

Ia ibarat ini rumah kita dan ini bola sepak kita, hormat tetamu budaya kita.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!