Anwar tiba di Indonesia untuk lawatan rasmi pertama

Anwar bersama Wan Azizah tiba di Terminal 3 Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta sempena lawatan rasmi beliau selama dua hari ke Indonesia pada Ahad. - Foto Bernama
Anwar bersama Wan Azizah tiba di Terminal 3 Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta sempena lawatan rasmi beliau selama dua hari ke Indonesia pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

JAKARTA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Indonesia pada Ahad, dalam lawatan rasmi pertamanya ke luar negara sejak menyandang jawatan itu pada 24 November lepas.

Perdana Menteri Malaysia ke-10 yang dikenali rakyat dan dihormati tokoh masyarakat di sini, diiringi isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam lawatan dua hari itu.

Pesawat khas yang membawa Anwar dan isteri mendarat di Terminal 3 Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta pada 2 petang waktu tempatan (3 petang waktu Malaysia).

Ketibaan beliau disambut oleh Menteri Pekerjaan Umum dan Perumahan Rakyat Indonesia, Basuki Hadimuljono dan Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono.

Anwar diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, Adlan Mohd Shaffieq.

Anwar dijadual mengadakan pertemuan dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo esok (Isnin) yang memberi peluang kepada Kuala Lumpur dan Jakarta menilai kemajuan kerjasama dua hala, meneroka peluang kerjasama baharu serta menggalakkan usaha bersama untuk menangani cabaran serantau dan global.

Pelbagai isu akan dibincangkan termasuk kerjasama ekonomi serta potensi pelaburan oleh Malaysia di Ibu Kota Negara Nusantara, pembatasan sempadan darat dan maritim, serta pengambilan dan perlindungan pekerja migran dari Indonesia.

Kedua-dua pemimpin juga akan bertukar-tukar pandangan berkenaan perkembangan serantau dan global terutama situasi di Myanmar dan usaha bersama untuk menangani diskriminasi minyak sawit memandangkan Malaysia dan Indonesia merupakan pengeksport terbesar dunia.

Artikel Berkaitan:

Dalam lawatan itu, lapan memorandum persefahaman antara sektor swasta Malaysia dan Indonesia akan dimeterai dengan jumlah projek dianggarkan bernilai RM1.16 bilion.

Selain itu, Anwar dijadual menyampaikan satu syarahan umum mengenai "Hubungan Strategik Malaysia-Indonesia" dan mengadakan sesi ramah mesra bersama diaspora Malaysia di Jakarta.

Pada 2021, Indonesia merupakan rakan dagang global ketujuh terbesar Malaysia dan ketiga terbesar dalam kalangan negara ASEAN dengan jumlah dagangan sebanyak RM95.31 bilion (AS$22.98 bilion).

Pada Januari hingga November 2022, Indonesia adalah rakan dagangan global keenam terbesar dan kedua terbesar dalam kalangan negara ASEAN dengan peningkatan jumlah dagangan sebanyak 41.7 peratus dengan jumlah RM120.26 bilion (AS$27.31 bilion).

Kunjungan Anwar sangat dinantikan masyarakat di Indonesia, terutamanya untuk mendengar sendiri pembaharuan dasar yang bakal diperkenalkan dalam memperkukuh hubungan negara serumpun Malaysia-Indonesia. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!