Anwar selamat tiba di Jakarta
JAKARTA - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selamat tiba di Lapangan Terbang Antarbangsa Soekarno-Hatta pada jam 1.57 petang (waktu tempatan) sempena lawatan rasmi pertama ke luar negara selama dua hari di Indonesia bermula Ahad.
Ketibaan beliau bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail disambut Menteri Pekerjaan Umum dan Perumahan Rakyat Indonesia, Basuki Hadimuljono serta Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono.
"Saya mengharapkan lawatan ini akan dapat memperkukuhkan lagi hubungan kedua-dua negara disamping meneroka peluang kerjasama baharu menerusi perbincangan bersama Presiden Joko Widodo, InsyaAllah,' katanya.
Turut sama dalam lawatan tersebut adalah Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, Adlan Mohd Shaffieq.
Pada jam 5 petang, Anwar bakal menyaksikan majlis memeterai lapan memorandum persefahaman (MoU) antara sektor swasta Malaysia dan Indonesia di sebuah hotel sini sebelum menghadiri majlis makan malam bersama diaspora Malaysia di kedutaan negara di Jakarta.
Acara kemuncak lawatan sulung Anwar ke luar negara itu dijadual berlangsung pada Isnin jam 10 pagi dalam majlis sambutan rasmi di Istana Bogor bagi pertemuan empat mata dengan Jokowi.
Anwar meneruskan tradisi bertemu rakan sejawat di Indonesia untuk lawatan rasmi pertama ke luar negara bagi membincangkan beberapa agenda penting ke arah mempertingkatkan hubungan dua hala.
Jokowi juga merupakan ketua negara terawal mengucapkan tahniah kepada Anwar selepas dilantik menerajui kepimpinan baharu negara pada 24 November lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!