Tze Yong rangka strategi ampuh di Terbuka Malaysia
PEMAIN perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong sudah melakukan persiapan rapi bagi penampilan sulungnya secara merit di kejohanan Terbuka Malaysia 2023, yang akan membuka tirai di Axiata Arena, Bukit Jalil, Selasa ini.
Pemain berusia 22 tahun, yang berada di ranking ke-25 dunia itu, bakal bertemu pemain ke-28 dunia Nhat Nguyen dari Ireland pada pusingan pertama.
Menjangkakan tempoh perlawanan yang panjang dan sukar, Tze Yong telah merangka strategi perlawanan terbaik dengan jurulatihnya, Hendrawan.
“Saya mengaku (cara bermain) semua pemain tidak sama, jadi kita kena tunggu hari perlawanan untuk tengok gaya seseorang.
“Saya rasa sekarang pemain utama dalam sesuatu kejohanan, mereka memang akan main perlawanan yang panjang, jadi sudah semestinya saya menjangka situasi sebegitu,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan pada Ahad.
Tze Yong bakal bertemu jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia, jika berjaya mara ke pusingan kedua kejohanan tersebut.
Terdahulu, Tze Yong, juara Cabaran Antarabangsa Bahrain pada Disember lalu, dilantik sebagai duta minuman isotonik,100PLUS, bagi tempoh dua tahun iaitu bermula tahun ini hingga 2024. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!