Warga Rohingya tinggal bawah jejambat Pandah Indah
AMPANG - Keluarga yang hidup merempat dan menjadikan bawah jejambat Pandan Indah di sini, sebagai tempat tinggal dikenal pasti sebagai warga Rohingya.
Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) dalam akaun Facebook rasminya memaklumkan Skuad Saidina Umar Zakat Selangor yang menerima maklumat berhubung keadaan keluarga itu segera ke lokasi.
Menurut kenyataan yang dimuat naik, pihak Zakat Selangor menanti selama tiga jam di bawah jejambat tersebut untuk bertemu keluarga itu.
“Skuad Saidina Umar Zakat Selangor menerima info awam satu keluarga yang bergelandangan di bawah jambatan Pandan Indah.
“Tindakan pantas diambil dengan turun segera ke kawasan tersebut. Tiga jam menanti dalam keadaan hujan renyai di malam hari membuahkan hasil apabila pihak kami bertemu dengan keluarga ini yang baharu pulang dari meminta sedekah,” katanya.
Menurutnya, siasatan mendapati keluarga tersebut merupakan warga Rohingya dan telah lama berlegar di sekitar kawasan itu dengan tidur di mana sahaja tempat mereka berhenti.
”Wanita tersebut tidak mahu berkomunikasi dan bersikap agresif semasa sesi temu bual.
”Oleh kerana isu ini melibatkan status warganegara, kami serahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!