'Game' masih 'on' - Bung Moktar
KOTA KINABALU - Ketua Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin kekal dengan pendirian bahawa kerajaan Sabah sudah tidak ada.
Beliau berkata, walaupun Datuk Seri Hajiji Noor mendapat sokongan daripada 44 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) namun menganggap 'permainan' politik masih lagi berlaku.
"Sudah tentu dia mendapat 44 (sokongan), dia (Hajiji) ambil orang saya, dia 'corrupt' semua orang. Tetapi tidak apa, 'bola masih bergolek'.
"Kita tunggu Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) datang esok untuk berjumpa dengan kita, Parti Warisan (Warisan) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) selepas itu baru kita bercakap mengenainya.
"Keputusannya malam esok, Perdana Menteri datang sekitar jam 8 malam esok dari Jakarta manakala Presiden UMNO (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ) datang jam 7 malam," katanya ketika ditemui pemberita sebaik tiba di Lapangan Terbang Kota Kinabalu (KKIA), di sini, pada Ahad.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan Hajiji yang menyatakan beliau telah mendapat 44 akuan bersumpah (SD) daripada ADUN Sabah terdiri daripada GRS, Pakatan Harapan (PH) Sabah dan BN Sabah.
Ditanya mengenai kedudukan beliau sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah, Bung tidak pasti mengenainya kerana masih menganggap kerajaan telah tiada.
"Saya tidak pasti, yang saya tahu kerajaan tidak ada. Kerajaan ini ditubuhkan bersama-sama apabila kita tarik diri kita bukan berhenti, bermakna Ketua Menteri pun tidak ada," katanya.
Sehubungan itu, Bung sekali lagi menekankan bahawa kemelut politik yang berlaku di Sabah belum lagi selesai.
"Game (permainan) masih 'on'," katanya.
Sebelum itu, Bung Moktar yang juga Pengerusi BN Sabah dalam sidang akhbarnya Jumaat lalu mengumumkan UMNO dan BN Sabah menarik sokongan terhadap Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah.
Susulan pengumumannya itu menyebabkan berlakunya pergolakan politik di negeri ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!