Lawatan rasmi pertama sebagai PM

Ketibaan Anwar dan Dr Wan Azizah disambut perwakilan kerajaan Malaysia dan Republik Indonesia.
Ketibaan Anwar dan Dr Wan Azizah disambut perwakilan kerajaan Malaysia dan Republik Indonesia.
A
A
A

JAKARTA, INDONESIA - Pertemuan empat mata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) di Istana Bogor di sini pada Isnin, bakal memperluaskan lembaran persahabatan sejati di antara kedua-dua negara.

Secara tradisi, Perdana Menteri Malaysia yang baharu dilantik akan mengadakan lawatan rasmi luar negara ke Indonesia, bagi mengukuh dan mempertingkatkan hubungan dua hala, selain bersama-sama meneroka peluang baharu, menangani cabaran serantau serta global.

Jokowi juga ialah pemimpin luar negara yang pertama mengucapkan tahniah kepada Anwar menerusi panggilan telefon susulan pelantikan tersebut pada 24 November lalu.

Anwar dalam ucapan balas menegaskan, Indonesia merupakan sahabat sejati Malaysia yang dengan berharap hubungan dagang dan bisnes, investasi, budaya serta isu pekerja dapat dipertingkatkan.

Bukan Jokowi sahaja, malah rakyat negara jiran itu meraikan kegembiraan dan teruja di atas pelantikan Anwar yang sememangnya diketahui mempunyai jalinan rapat dengan beberapa tokoh politik Indonesia termasuk Presiden ketiga, Bacharuddin Jusuf Habibie.

No Image Caption

Pada Januari hingga November 2022, Indonesia menjadi rakan dagang keenam terbesar dan kedua terbesar dalam kalangan negara ASEAN dengan peningkatan jumlah dagangan sebanyak 41.7 peratus iaitu RM120.26 bilion berbanding 2021.

Pertemuan di Istana Bogor hari ini menjadi tumpuan rakyat kedua-dua negara bagi melihat perkembangan baharu kerjasama dua hala, selain menangani cabaran serantau dan global.

Artikel Berkaitan:

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dalam sidang akhbar pembuka tirai sehari sebelum lawatan sulung itu berkata, beberapa isu utama akan dibincangkan.

Antaranya kerjasama ekonomi termasuk potensi pelaburan Malaysia di Ibu Kota Negara (IKN) Nusantara dan kedua-dua pemimpin menyaksikan penyerahan 11 pucuk Surat Minat (LoI) syarikat Malaysia kepada Pengerusi Nusantara, Bambang Susantono.

Malaysia melihat pembangunan ibu negara baharu di Kalimantan itu memberi manfaat kepada negara terutama Sabah dan Sarawak.

Pertemuan Anwar dan Jokowi juga dijangka menyentuh strategi menangani diskriminasi minyak sawit oleh Kesatuan Eropah (EU), memandangkan kedua-dua negara adalah pengeluar utamanya.

Isu lain bakal diberi perhatian adalah pembatasan sempadan darat dan maritim, pengambilan dan perlindungan pekerja migran dari Indonesia serta kepengerusian Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN).

Kementerian Menteri Sumber Manusia pada Disember lalu, memaklumkan seramai 5,000 hingga 10,000 pekerja Indonesia dijangka dihantar ke Malaysia Januari ini.

Kemasukan itu mengisi keperluan di sektor pembinaan, pembuatan dan perkhidmatan domestik Indonesia (PDI).

Menariknya, Anwar yang ditemani isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memulakan lawatan pertama itu dengan tradisi bersongkok lambang memartabatkan budaya.

Anwar bersama isteri, Dr Wan Azizah tiba di Terminal 3 Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta sempena lawatan rasmi beliau selama dua hari ke Indonesia, Ahad.
Anwar bersama isteri, Dr Wan Azizah tiba di Terminal 3 Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta sempena lawatan rasmi beliau selama dua hari ke Indonesia, Ahad.

Selain bertemu Jokowi, lawatan dua hari Perdana Menteri ke Indonesia dipadatkan dengan pelbagai tentatif.

Anwar dijangka menyampaikan syarahan umum bertajuk ‘Hubungan Strategik Malaysia Indonesia Menara Bank Mega’ dan diakhiri dengan sidang akhbar bersama wartawan Malaysia.

Hasrat bantu bangunkan Ibu Kota Negara

Sementara itu, Malaysia menyatakan minat untuk terlibat dalam pembangunan Ibu Kota Negara (IKN) Nusantara di Kalimantan Timur sempena lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara republik itu.

Kalimantan Timur bakal dibangunkan sebagai ibu negara Republik Indonesia bagi menggantikan Jakarta.
Kalimantan Timur bakal dibangunkan sebagai ibu negara Republik Indonesia bagi menggantikan Jakarta.

Hasrat tersebut dizahirkan melalui penyerahan 11 pucuk Surat Minat (LoI) oleh 10 syarikat Malaysia bernilai lebih RM1 bilion kepada Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi dengan disaksikan Anwar dalam satu majlis di sebuah hotel di sini pada Ahad.

Hadir sama, Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Syarikat Malaysia yang terlibat adalah Success Electronics & Transformer Manufacturer Sdn Bhd (SETM); Carsome; Olympic Cable Company (OSK Group; Boustead Properties Berhad dan Berjaya Corporation Berhad dan Pharmaniaga Berhad.

Syarikat lain, Alliance MEP (Sarawak) Sdn Bhd; Tenaga Nasional Berhad; Protasco Berhad dan Reneuco Berhad.

LoI itu membabitkan pelaksanaan lampu pinta jalan, e-dagang kereta bersepadu, kabel aluminium dan tembaga, pembangunan hartanah, kejuruteraan sisa pepejal dan bekalan air, perkhidmatan kesihatan, kejuruteraan pembangunan infrastruktur dan pengurusan tenaga.

9 MoU berjumlah RM1.66 bilion

Dalam pada itu, sebanyak sembilan memorandum persefahaman (MoU) antara syarikat Malaysia dan Indonesia dimeterai pada Ahad, sempena lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Indonesia.

MoU dengan pelaburan berjumlah RM1.66 bilion itu melibatkan syarikat dari kedua-dua negara dalam pelbagai bidang ekonomi.

Antaranya kejuruteraan perkapalan, perbankan, teknologi pembuatan bateri, penerokaan tenaga hijau dan pembangunan Ibu Kota Negara (IKN) Nusantara serta sains teknologi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!