Sampai bila masalah internet akan selesai

Walaupun sudah tahun 2023, namun masalah internet dan talian telefon di sesetengah kawasan masih menjadi satu isu yang tidak berkesudahan. - Gambar hiasan
Walaupun sudah tahun 2023, namun masalah internet dan talian telefon di sesetengah kawasan masih menjadi satu isu yang tidak berkesudahan. - Gambar hiasan
A
A
A

WALAUPUN sudah tahun 2023, namun masalah internet dan talian telefon di sesetengah kawasan masih menjadi satu isu yang tidak berkesudahan.

Biarpun dengan kehadiran telefon pintar yang canggih dan capaian liputan rangkaian 5G, namun ia tidak membawa apa-apa makna kepada pengguna yang sehingga kini masih ‘berjuang’ mencari talian internet untuk berhubung.

Penulis sendiri, walaupun tinggal di Klang, Selangor, namun kekuatan capaian talian telefon hanya satu atau dua bar sahaja. Itu pun kena pandai cari ‘line’ di setiap penjuru rumah. Kalau bernasib baik, dapatlah tiga bar. Teruk bukan?

Tidak lupa kisah seorang penuntut Universiti Malaysia Sabah (UMS), Veveonah Mosibin yang terpaksa memanjat pokok di kampungnya di Pitas, Sabah demi mendapatkan talian internet untuk menduduki peperiksaan secara dalam talian pada tahun 2020.

Kisah pelajar itu tular pada saat dunia sedang dilanda pandemik Covid-19 di mana pembelajaran dalam talian diaplikasikan secara meluas di Malaysia ketika itu.

Penggunaan internet kini semakin meluas malah menjadi perkara yang penting untuk semua individu dalam menjalankan urusan harian dan perniagaan.

Tidak kira usia, tua atau muda semuanya kini terdedah dengan penggunaan internet. Malah golongan anak-anak juga kini jika pergi ke mana-mana pasti akan bertanya ‘ada WiFi tak?’

Tidak kurang juga golongan ibu di kampung yang turut sibuk mencari internet hanya kerana ingin sentiasa terhubung menerusi Facebook agar tidak ketinggalan dengan dunia luar.

Artikel Berkaitan:

Bukan sahaja penduduk kampung, Orang Asli juga kini turut terkehadapan dalam memperjuangkan talian internet di kawasan mereka agar dinaik taraf.

Seperti yang dilaporkan Bernama baru-baru ini, kira-kira 1,500 masyarakat Orang Asli di Pos Bihai dan Pos Balar di Gua Musang, Kelantan memohon kemudahan capaian internet mudah alih di perkampungan mereka dinaik taraf untuk menampung keperluan penggunaan oleh penduduk.

Meskipun penduduk mendapat manfaat daripada Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang disediakan kerajaan, kuota capaian adalah terhad dan tidak dapat digunakan oleh semua penduduk.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil sebelum ini turut mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bertindak ke atas aduan orang ramai berhubung gangguan liputan komunikasi dan capaian internet yang disediakan syarikat-syarikat telekomunikasi di negara ini.

SKMM pada Februari tahun lalu dilaporkan akan menambah baik rangkaian 4G supaya dapat menawarkan liputan lebih mantap kepada pelanggan selepas perkhidmatan rangkaian 3G ditamatkan secara berperingkat sejak akhir tahun 2021.

Menurut SKMM, bagi tempoh Januari hingga Disember 2021 pihaknya menerima 200,675 aduan berhubung rangkaian dengan kualiti perkhidmatan 4G menjadi kebimbangan utama. Berdasarkan pecahan mengikut lokasi, Johor Bahru merekodkan aduan tertinggi diikuti Petaling, Seremban, Kuala Lumpur dan Klang.

Sinar Harian pada Sabtu lalu mendedahkan, Malaysia menduduki tangga kelima kadar kelajuan internet di negara ASEAN dengan 36.34Mbps di mana Brunei mengungguli ‘carta’ dengan 102.06Mbps, diikuti Singapura, 72.18, Vietnam 39.59 dan Thailand 37.85. Negara jiran seperti Singapura juga sudah jauh meninggalkan kita dalam kadar kelajuan internet.

Berkongsi kepada Sinar Harian, Penganalisis Keselamatan dan Politik Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin mencadangkan kerajaan supaya merangka satu pembangunan telekomunikasi berasaskan keselamatan digital bagi meningkatkan kadar kelajuan internet.

Jelas beliau, kelajuan internet di Malaysia berbanding negara luar masih lagi dianggap rendah maka ia perlu diperbaiki bagi memudahkan operasi telekomunikasi digital dihubungkan.

Diharap kerajaan dapat bertindak secara bersepadu dalam menyelesaikan masalah talian internet ini di Malaysia. Kini semua benda memerlukan kemudahan internet.

Tidak guna mencanang kehebatan liputan 5G jika perkhidmatan 4G pun masih sukar untuk diperoleh di sesetengah kawasan!

* Farah Nabila Mohamed Saris ialah Penyunting Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!