Anwar tekad hapus rasuah walau kedudukan tergugat

Anwar bersama diaspora dan pelajar Malaysia dalam majlis makan malam di Kedutaan Malaysia di Jakarta pada Ahad.
Anwar bersama diaspora dan pelajar Malaysia dalam majlis makan malam di Kedutaan Malaysia di Jakarta pada Ahad.
A
A
A

JAKARTA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tekad untuk membersihkan negara daripada rasuah dan salah guna kuasa walaupun usaha itu akan menggugat kedudukan beliau.

Tegas Anwar, Malaysia mesti bebas daripada perbuatan tamak kelompok elit kecil yang menggunakan kuasa untuk kekayaan diri dan kroni.

"Saya tidak akan bertolak ansur sama sekali walaupun ia akan menggugat kedudukan saya.

"Kita sudah lelah dengan watak-watak yang menjerit perjuangkan Islam tetapi mengkhianati tanggungjawab yang diamanahkan dan menggunakan kuasa untuk merampas hak yang bukan milik mereka.

"Saya tidak akan buat penyiasatan atau pendakwaan terpilih. Tetapi percaya, arahan kita kepada semua badan penguatkuasaan adalah untuk tunjukkan kekuatan semangat baharu untuk memastikan dalam tempoh terdekat kita hentikan budaya ini," katanya.

Beliau berucap pada majlis makan malam bersama diaspora dan pelajar Malaysia di kedutaan negara di Jakarta pada Ahad sempena lawatan rasmi ke Indonesia dengan diiringi isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Hadir sama, Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Tambah Anwar, adalah menjadi hasrat beliau untuk memartabatkan golongan miskin tidak kira bangsa atau agama selain memperteguh hak dan keistimewaan orang Melayu serta bumiputera.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun kebimbangan utama saat ini adalah terkait pembangunan ekonomi dan pengagihan kekayaan kepada semua, tetapi mustahil untuk memberi tumpuan kepada aspek itu selagi rasuah terus menghantui koridor kuasa," jelasnya.

Anwar kini dalam lawatan rasmi ke Indonesia bagi membincangkan beberapa agenda penting ke arah mempertingkatkan hubungan dua hala..

Pada Isnin iaitu hari kedua lawatan, beliau dijadual mengadakan pertemuan empat mata dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) di Istana Bogor.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!