M40 cuma pada hari gaji, selepas seminggu jadi B40

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KERAJAAN Perpaduan Malaysia dijangka membentangkan semula Bajet 2023 pada Februari depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menegaskan, seiring dengan usaha menangani cabaran kos sara hidup, kerajaan pimpinannya akan mengambil pendekatan lebih bersasar bagi melindungi rakyat susah serta pengusaha kecil.

Memasuki 2023 dengan dapatan kajian mengatakan ia tahun sukar kepada ekonomi global, sudah tentu melonjakkan kebimbangan tidak kira taraf ekonomi poket kita.

Besar harapan rakyat di bawah, subsidi mahupun bantuan bersasar diumumkan kelak sampai kepada kelompok sepatutnya namun pada masa sama, tidak meminggirkan kumpulan 'terlihat kaya' seperti M40.

Benar, terlihat kaya tapi hakikatnya 'kayap' sahaja!

Sebuah institusi keluarga dengan pendapatan isi rumah RM4,850 - RM10,959 sebulan dikategorikan M40.

Tidak perlu kita buat perbandingan, keluarga dengan pendapatan RM4,850 tinggal di Kuala Lumpur dengan anak menantu Mak Kiah yang menetap di Simpang 5, Parit Buntar, Perak. Fokus sahaja yang tinggal di bandar.

Sudah tentu banyak bezanya, 'M40 bawahan' dengan pendapatan kurang RM6,000 jika dibandingkan level atasan dengan pendapatan RM8,000 ke atas.

Artikel Berkaitan:

Kita andaikan sahaja perkiraannya begitu.

Kedua-dua kumpulan ini akan tetap membuat perbelanjaan hampir sama seperti bayaran ansuran kenderaan, petrol dan tol, pinjaman perumahan, belanja barang dapur, kos persekolahan anak-anak dan bil utiliti.

Ini belum termasuk komitmen insurans atau lain-lain pinjaman selain simpanan wang kecemasan yang perlu diasingkan.

Kita 'zoom in' lagi pendapatan 'M40 bawahan' ini kepada mereka yang mempunyai bilangan ahli keluarga 5 orang.

Sudah tentu, kos sara hidup kumpulan ini jauh berbeza dengan 'M40 atasan' dan golongan ini meliputi 50 peratus kumpulan pertengahan di negara kita.

Rasanya tidak keterlaluan jika kita katakan, hari pertama gaji sahaja tergolong M40, namun seminggu selepas itu sudah jatuh ke level B40.

Pahit tapi benar, tapi itulah hakikat kepada ramai 'pemegang kad' M40 di bawah sana.

Mereka ini golongan yang lunyai berjuang demi sebuah survival kehidupan, namun lebih menyakitkan apabila tidak dipedulikan setiap kali pembentangan belanjawan.

Diharapkan dasar kepedulian yang disanjung kerajaan hari ini mampu menyelinap masuk ke dalam denyut nadi rakyat M40 juga.

Sudah sampai masanya dan buatlah sesuatu!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!