'Kami sudah bersedia'
SKUAD hoki negara bukan sahaja akan mengharungi perjuangan di pentas Piala Dunia 2023 berdepan cabaran pasukan gergasi tetapi juga keadaan cuaca di Rourkela dan Bhubaneswar, India.
Namun, penyerang The Speedy Tigers, Faizal Saari tetap positif bahawa ‘musuh kedua’ itu bukan satu halangan kepada pasukan negara untuk mempamerkan persembahan terbaik.
“Sebenarnya pasukan negara sudah bersedia beraksi di India. Para pemain juga sebenarnya hendak atau tidak juga perlu cepat menyesuaikan diri apabila beraksi dalam cuaca panas atau hujan.
“Sebagai contoh, para pemain cepat membiasakan diri apabila bermain pada jam 1 tengah hari pada Piala Negara-Negara di Afrika Selatan bulan lalu,” katanya kepada Sukan Sinar baru-baru ini.
Skuad kendalian Arul Selvaraj kini berada di India dan dijadual mengadakan perlawanan persahabatan terakhir menentang Sepanyol pada Rabu sebelum memulakan kempen Piala Dunia 2023.
Malaysia akan menyingkap kempen Kumpulan C menentang pasukan nombor tiga dunia yang juga juara tiga kali, Belanda di Stadium Hoki Birsa Munda, Rourkela pada 14 Januari ini.
Selepas berdepan Belanda, Malaysia akan menentang Chile di Stadium Hoki Birsa Munda, Rourkela (16 Januari) sebelum berdepan New Zealand di Stadium Hoki Kalinga, Bhubaneswar pada 19 Januari.
Pada masa sama, Faizal juga menyifatkan pasukan negara sudah bersedia menyahut cabaran berdepan gergasi hoki dunia di India.
“Ya... saya akui cabaran sememangnya menanti pasukan negara apabila bakal berdepan pasukan kuat pada Piala Dunia kali ini.
“Namun, pada satu sudut tiada perlawanan back to back ternyata memberikan ruang kepada pasukan untuk melakukan persediaan lebih rapi.
“Pada Piala Dunia 2023 ini, kami akan memberikan sehabis baik berdepan setiap lawan dan mengambil satu perlawanan ke satu perlawanan,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!