Bekas pengerusi NGO bergelar Datuk antara dua ditahan SPRM

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan seorang bekas pengerusi bergelar Datuk dan bekas bendahari sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi membantu siasatan berkaitan kes tuntutan palsu kepada sebuah jabatan kerajaan berjumlah lebih RM11,000, dua tahun lalu.

Menurut sumber, kedua-dua lelaki berusia 47 dan 43 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Johor antara jam 8.30 hingga 9.30 malam Ahad selepas hadir memberikan keterangan.

Difahamkan, sekitar penghujung Januari 2021, kedua-dua suspek telah mengemukakan tuntutan palsu kepada sebuah jabatan kerajaan yang berpusat di daerah Johor Bahru, bagi kerja-kerja pembekalan dalam melaksanakan program rawatan dan pemulihan, sedangkan pembekalan tersebut tidak dilaksanakan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan kedua-dua penahanan terbabit dan kes disiasat bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru jam 9 pagi pada Isnin, bagi mendapatkan permohonan reman.

Artikel Berkaitan: