Anwar, Jokowi bincang 12 perkara di beranda Istana Bogor
JAWA BARAT - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dalam lawatan dua hari ke Indonesia, tiba di Istana Bogor di sini pada Isnin bagi bertemu Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi).
Ketibaan Anwar kira-kira jam 10 pagi (waktu tempatan) itu diberikan sambutan rasmi oleh Jokowi dan seterusnya lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan diikuti 19 kali bedilan meriam.
Anwar kemudian diiringi Jokowi bagi memeriksa barisan kawalan kehormat sebelum diperkenalkan kepada menteri kabinet Indonesia serta delagasi.
Selepas acara menanam pokok Merawan atau Hopea odorota, Anwar dibawa menaiki buggy dipandu sendiri oleh Jokowi dan bersiar-siar di Kebun Raya Bogor yang mempunyai 15,000 jenis pokok dan tumbuhan.
Usia kebun tersebut mencecah 205 tahun, sekali gus menjadi taman botani tertua di dunia yang mendapat pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Kedua-dua pemimpin kemudian mengadakan pertemuan khas dengan sesi perbincangan di beranda Istana Bogor atau lebih dikenali sebagai Veranda Talk.
Sesi tersebut merupakan tradisi yang diperkenalkan Jokowi untuk tetamu negara yang penting dan rapat dengan negara berkenaan.
Semalam, Anwar ketika bercakap kepada media memaklumkan sebanyak 12 perkara akan bincangkan dalam pertemuan dengan Jokowi di istana berkenaan.
Kedua-dua pemimpin itu juga akan menyaksikan penyerahan 11 pucuk Surat Minat (LoI) membabitkan 10 syarikat Malaysia untuk terlibat dalam pembangunan Ibu Kota Negara (IKN) Nusantara.
Satu kenyataan media bersama akan diadakan dan acara di Istana Bogor tamat dengan jamuan negara.
Perdana Menteri kemudian dijadual menghadiri acara syarahan awam bertajuk Hubungan Strategik Malaysia Indonesia: Cabaran dan Harapan, di Bank Mega Tower pada jam 3 petang ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!