Buruh ditampar polis menang saman

Mohd Faizu Ramli, 32, (kanan) yang keluar dari mahkamab sambil meraup wajah tanda syukur menenangi kes saman di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini, bersama peguamnya, Shaharuddin Mohamed.
Mohd Faizu Ramli, 32, (kanan) yang keluar dari mahkamab sambil meraup wajah tanda syukur menenangi kes saman di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini, bersama peguamnya, Shaharuddin Mohamed.
A
A
A

KOTA BHARU – Nasib seorang buruh yang ditampar polis hingga telinga kirinya berdarah kini terbela apabila Mahkamah Sesyen, di sini hari ini mengarahkan Kerajaan Malaysia, Ketua Polis Daerah Tumpat dan seorang Lans Koperal supaya membayar ganti rugi berjumlah RM112,040 kepada lelaki itu.

Perintah dibuat Hakim, Mohd Rosly Muhamad Nawi terhadap ketiga-tiga defendan yang perlu membuat bayaran terbabit kepada buruh berkenaan, Mohd Faizu Ramli, 32. Mohd Faizu berkata, keputusan itu sudah lama dinantikannya sejak insiden dia ditampar anggota polis berkenaan pada empat tahun lalu.

“Saya masih tergamam dan tidak menyangka keputusan berpihak kepada saya, namun keputusan ini sangat bermakna kerana selama ini saya terpaksa menanggung kesakitan pada bahagian sebelah telinga kiri hingga tidak dapat mendengar dengan baik seperti sebelumnya,” katanya yang ditemui di pekarangan mahkamah, di sini hari ini.

Mohd Faizu selaku plaintif menang saman yang difailkan pada 15 Mac 2018 tersebut dengan menamakan Lans Koperal Mohd Erman Ahmad sebagai defendan pertama; Ketua Polis Daerah Tumpat defendan kedua, manakala Kerajaan Malaysia pula defendan ketiga.

Mohd Faizu Ramli, 32, (kanan) bersama peguam bela, Shaharuddin Mohamed berjalan keluar dari Mahkamah Sesyen Kota Bharu, di sini, hari ini, selepas menang saman RM112,040.
Mohd Faizu Ramli, 32, (kanan) bersama peguam bela, Shaharuddin Mohamed berjalan keluar dari Mahkamah Sesyen Kota Bharu, di sini, hari ini, selepas menang saman RM112,040.

Mohd Rosly dalam keputusan itu berkata, kesemua defendan gagal membuktikan defendan pertama tidak berada di tempat kejadian, gagal memanggil pegawai penyiasat serta gagal mengemukakan Poket Diari defendan pertama dan Station Diari selain pembelaan mereka pula hanya penafian semata-mata.

“Sehubungan itu, defendan perlu membayar Ganti Rugi Am sebanyak RM12,000, Ganti Rugi Khas RM40 dan Ganti Rugi Teladan sebanyak RM100,000 dengan jumlah keseluruhannya RM112,040.

"Mereka juga dikenakan faedah kehakiman sebanyak 5 peratus setahun daripada tarikh saman difailkan hingga penyelesaian penuh,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Saman difailkan melalui Peguam bela dan peguam cara Tetuan Shaharuddin Mohamed Hidayu & Marwaliz, manakala defendan-defendan diwakili Peguam Persekutuan, Nik Nur Adila Zaidan. Sementara itu, peguam bela, Shaharuddin Mohamed ketika ditemui berkata, keputusan itu sekali gus membela nasib yang menimpa anak guamnya itu dalam kejadian di rumah bapa plaintif di Kampung Bechah Resak, Chabang Empat, Tumpat, pada jam 5.30 petang, 17 April 2015.

Pada kejadian empat tahun lalu, Mohd Faizu terdengar bunyi bising di rumah bapanya yang terletak di hadapan rumahnya. Dia kemudiannya bergegas untuk menjenguk bapanya. Ketika itu, dia melihat anggota polis menyerbu rumah bapanya itu dan bertanyakan situasi itu.

Bagaimanapun, defendan pertama itu dikatakan tiba-tiba naik angin dan memarahi Mohd Faizu serta mendakwanya menghalang tugas polis lalu menampar telinga kiri plaintif hingga terkeluar darah selain mengalami masalah pendengaran.

Selepas itu, Mohd Faizu mendapatkan rawatan di hospital dan doktor mengesahkan membran telinganya mengalami kecederaan. Dia kemudian membuat laporan polis, namun tiada tindakan daripada pihak berkenaan sehingga dia bertindak menyaman anggota polis terbabit.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!