Pelajar sekolah liat pakai topi keledar

Che Mohd Hisham (empat dari kiri) memeriksa sebuah motosikal yang menggunakan nombor pendaftaran kecil tidak mengikut spesifikasi dalam pemeriksaan di sebuah sekolah menengah di Jertih hari ini.
Che Mohd Hisham (empat dari kiri) memeriksa sebuah motosikal yang menggunakan nombor pendaftaran kecil tidak mengikut spesifikasi dalam pemeriksaan di sebuah sekolah menengah di Jertih hari ini.
A
A
A

SETIU- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kesal kerana segelintir pelajar sekolah masih liat untuk memakai topi keledar sedangkan ia aspek keselamatan yang perlu diberi perhatian utama ketika menunggang dan membonceng motosikal.

Pengarah JPJ Terengganu, Zulkarnain Yasin berkata, pemeriksaan pihaknya mendapati masih ramai pelajar sekolah melakukan kesalahan tersebut dan sikap negatif itu membahayakan nyawa mereka sendiri.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mengejut di sebuah sekolah menengah di Jertih mendapati 75 pelajar tidak memakai topi keledar daripada 115 pelajar yang menggunakan motosikal ke sekolah jam 8 pagi hari ini.

“Pemeriksaan lanjut juga mendapati 40 kes kesalahan teknikal dikesan seperti tiada cermin sisi pandang belakang, lampu tidak menyala dan nombor pendaftaran tidak mengikuti spesifikasi ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian tentang program diketuai Ketua Stesen Penguatkuasa JPJ Air Sejuk, Setiu, Che Mohd Hisham Che Jamaluddin beserta 9 anggota.

Hadir sama Pegawai Keselamatan i Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Terengganu, Ramli Jusoh dan pengetua sekolah, Adnan Abd Kadir.

Menurutnya, pemakaian topi keledar amat diberi perhatian serius oleh pihaknya selain kesalahan lain kerana tanpa memakai topi keledar boleh menyebabkan kecederaan serius seperti kelumpuhan termasuk kematian sekiranya terlibat kemalangan, katanya.

“Program pemeriksaan mengejut itu adalah program advokasi bertujuan mendidik pelajar bukan sahaja mengenai pengetahuan undang-undang jalan raya dan dilaksanakan di sekolah-sekolah yang mempunyai Pasukan Kadet JPJ sekolah terlebih dahulu, katanya,

Artikel Berkaitan:

Zulkarnain berkata lagi, program ini lebih kepada pendidikan iaitu JPJ memberi pendedahan dan peluang kepada pelajar memahami peraturan yang perlu dipatuhi mereka.

“Bagaimanapun pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas termasuk saman atau sita motosikal sekiranya pemeriksaan seterusnya mendapati pelajar masih tidak mematuhi peraturan tersebut khususnya kesalahan yang jelas dapat dilihat iaitu tidak memakai topi keledar,” katanya.

Zulkarnain turut mengingatkan ibu bapa agar prihatin dengan memastikan anak mereka mematuhi peraturan ditetapkan ketika menunggang motosikal khususnya ke sekolah.

Sementara pengetua sekolah, Adnan berkata, pihaknya berterima kasih kepada JPJ dan polis kerana dapat melakukan program seperti itu sekurang-kurangnya dapat mendidik pelajar agar mematuhi undang-undang.

Menurutnya, selaras dengan sekolah yang mempunyai Pasukan Kadet JPJ, pihak sekolah selalu memberi penerangan dan kempen kepada pelajar agar sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas terutama memakai topi keledar ketika datang dan kembali ke sekolah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!