Stok mercun Tahun Baharu Cina dirampas
RANTAU PANJANG - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai RM35,631.75 termasuk cukai dipercayai untuk sambutan Tahun Baharu Cina dalam serbuan di Kampung Padang Pak Amat, Pasir Puteh pada Ahad.
Pengarahnya, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, rampasan terbabit hasil maklumat awam yang diterima berkait dengan penyeludupan bahan terlarang itu.
"Pada jam 9.50 malam kami telah menahan sebuah lori dan pacuan empat roda di sebuah kawasan lapang.
"Hasil pemeriksaan kami telah menemui pelbagai jenis mercun dan bunga api seberat 2,159 kilogram (kg) yang bernilai RM21,595," katanya semasa sidang akhbar di Pejabat JKDM Rantau Panjang di sini pada Isnin.
Menurut beliau, semasa serbuan pemandu lori dan pacuan empat roda tersebut berjaya meloloskan diri sejurus menyedari kehadiran anggota.
Ujarnya, hasil siasatan awal mendapati barangan tersebut dibawa masuk dari negara jiran melalui Rantau Panjang.
Wan Jamal Abdul Salam memberitahu, ia dibawa dalam skala kecil menggunakan pacuan empat roda sebelum dipunggah masuk ke dalam lori.
"Hasil siasatan awal mendapati lori tersebut akan membawa barangan itu ke Lembah Klang untuk dipasarkan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!