Nahas empat kenderaan, trafik sesak 9km

Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam nahas empat kenderaan di lebuh raya dekat Sungkai pada Isnin. - Foto Bomba Perak
Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam nahas empat kenderaan di lebuh raya dekat Sungkai pada Isnin. - Foto Bomba Perak
A
A
A

TAPAH - [DIKEMAS KINI] - Seorang maut dalam nahas empat kenderaan hingga mengakibatkan aliran trafik sesak 9 kilometer di Kilometer 358.7 Lebuhraya Utara Selatan arah utara berhampiran Sungkai di sini pada Isnin.

Dalam kejadian sekitar jam 4.40 petang itu, Liew Kim Fah, 70, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas cedera parah akibat tersepit.

Nahas turut mengakibatkan tiga mangsa yang lain cedera sementara tiga lagi tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, kemalangan membabitkan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux milik Plus Ronda, kereta jenis Suzuki Swift, kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Mazda CX-5 dan Kia Optima.

Menurutnya, sebelum kejadian berlaku, kenderaan milik Plus Ronda telah berhenti di lorong kecemasan untuk membantu kereta Suzuki Swift yang mengalami tayar pancit.

"Secara tiba-tiba SUV dipandu mangsa datang dari arah sama telah melanggar bahagian belakang kenderaan pacuan empat roda berkenaan.

"Keadaan itu menyebabkan SUV terbabit terbabas ke lorong kanan dan dilanggar pula dari arah belakang oleh kenderaan jenis Kia," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Beliau berkata, pelanggaran menyebabkan pemandu dan penumpang SUV berkenaan tersepit.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pemandu kenderaan itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sementara penumpang mengalami kecederaan dibawa ke Hospital Slim River untuk menerima rawatan.

"Siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil untuk membantu siasatan," katanya.

Twitter @Plustrafik dalam ciapannya pada jam 7.32 malam memberitahu, lorong kiri laluan terbabit telahpun dibuka, namun aliran trafik masih sesak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!