'Sudah hampir sebulan ayah hilang di Tanah Suci'
KUALA LUMPUR - Seorang guru agama, Musthafa Kamal Abdullah, 49, dilaporkan hilang sejak hampir sebulan lalu ketika mengerjakan umrah di Tanah Suci.
Difahamkan, mangsa yang dikenali sebagai Ustaz Musthafa Kamal tinggal di Sri Gading, Batu Pahat itu merupakan guru agama di Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Raja, Johor.
Anaknya, Muhammad Nabil Musthafa Kamal, 26, berkata, dia berharap pihak Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) dapat bekerjasama dengan kerajaan Arab Saudi untuk mengesan bapanya yang hilang.
"Kami yakin pemeriksaan melalui kamarea litar tertutup (CCTV) dilihat sebagai jalan terakhir bagi mengesan jejak ayah.
"Saya dah beritahu dengan pihak agensi umrah yang menguruskan agar dapat mengusahakan pemeriksaan melalui CCTV menerusi bantuan mutawif di sana," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Katanya, bapanya pergi ke Tanah Suci bersama adiknya, Muaz, 17, pada 6 Disember lalu dan dijangka pulang ke tanah air pada 18 Disember.
"Ayah dilaporkan hilang pada 12 Disember selepas adiknya menyedari bapa mereka tiada di bilik hotel di Makkah.
"Mereka baru pulang dari Madinah dan tiba di hotel kira-kira jam 7 malam serta sempat makan sebelum jam 10 malam dijadualkan membuat tawaf untuk umrah wajib.
"Mereka juga sudah memakai ihram dan ayah minta adik pergi dulu dengan mutawif kerana dia mahu berehat dan cakap dia akan tawaf nanti sebab kurang sihat," katanya.
Bagaimanapun, katanya, ketika pulang ke bilik hotel, adiknya mendapati bapa mereka tiada di bilik, malah beg silangnya juga tiada pada 12.30 tengah malam.
Katanya, pada mulanya adiknya tidak terlalu risau bapanya keluar seorang diri kerana beliau boleh berbahasa Arab tetapi selepas bapa masih belum pulang hingga Subuh dan gambarnya juga tersebar di WhatsApp, mereka mengesyaki bapa dihantar ke hospital.
"Kami percaya mungkin ayah keluar seorang diri mahu pergi tawaf. Pada 13 Disember ada individu berkongsi gambar ayah memakai ihram tanpa beg dalam ambulans di kumpulan WhatsApp.
"Mutawif kemudiannya ke hospital mencari ayah tetapi ayah tiada dan diberitahu sudah keluar dari hospital serta dihantar pulang ke hotel," katanya.
Nabil yang bertugas di Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) berkata, pemeriksaan di hotel mendapati bapanya masih tiada di premis berkenaan.
Katanya, pada hari ketiga kehilangan bapanya ada orang awam menghantar beg silang bapanya itu di kaunter hotel.
"Kami binggung memikirkan di mana ayah berada dan sehingga kini ayah masih belum ditemui sudah hampir sebulan dan adik pulang seorang diri bersama jemaah lain tanpa ayah.
"Mak juga sedih, tidur malam kami tidak lena memikirkan ayah dan setiap hari memikirkannya. Di sana ada individu yang membantu mengesan ayah dan selalu berhubung dengannya," katanya.
Jelas Nabil, satu laporan polis telah dibuat di Kedutaan Malaysia di Arab Saudi dan berharap sesiapa yang menemui bapanya segera menghubungi pihak berkuasa atau memaklumkan kepadanya di talian 017-7362532.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!