Lebih 70 maut banjir kilat di India, Pakistan
KARACHI - Bencana alam hujan lebat dan banjir kilat yang melanda beberapa negeri di India dan Pakistan menyebabkan banyak nyawa terkorban, lapor agensi berita Anadolu.
Ribut petir di utara, tengah dan barat India pada lewat Selasa menyaksikan sekurang-kurangnya 33 orang terbunuh, memetik media tempatan.
Negeri Madhya Pradesh paling teruk terjejas dengan 16 kematian dilaporkan, kata Ketua Menteri Kamal Nath.
Perdana Menteri India Narendra Modi turut bersedih dengan musibah itu.
"Pihak berkuasa sentiasa memantau keadaan. Semua bantuan giat disalurkan kepada mangsa terlibat," tulis beliau dalam twitternya.
Di Pakistan pula 39 orang maut dan puluhan lagi cedera sepanjang dua hari lalu, demikian menurut pegawai dan media tempatan pada Rabu.
Menurut Pengurusan Bencana Negara, sebuah badan dikendalikan pemerintah negeri akan menyelaras kerja-kerja bantuan dan menyelamat, kebanyakan kematian dilaporkan di barat laut Khyber Pakhtunkhwa (KP) dan barat daya wilayah Balochistan.
Selain itu, penduduk di kedua-dua wilayah terpaksa berpindah dan hampir 80 buah rumah mengalami kerosakan.
Sementara itu, beberapa bandar di wilayah utara Punjab turut mengalami hujan lebat, lapor stesen penyiar tempatan Geo News.
Musim hujan diikuti tiupan angin kencang menyebabkan pokok, tiang elektrik dan papan tanda di beberapa bandar tumbang, selain mengakibatkan tanaman gandum musnah terutamanya di Punjab.
Kebanyakan kematian yang dilaporkan akibat dihempap bumbung dan tiang elektrik.
Jabatan meteorologi kedua-dua negara meramalkan hujan berterusan untuk tempoh 24 hingga 48 jam akan datang. -Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!