Kenderaan mewah 'kantoi' 45 kali culas bayar tol
KUALA LUMPUR - Tindakan sebuah kenderaan mewah yang didapati tidak membayar tol membawa padah apabila ditahan di Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) di sini pada Isnin.
Lebih memeranjatkan pemeriksaan dijalankan mendapati kenderaan mewah itu didapati tidak membayar tol sebanyak 45 kali.
Kumpulan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) menerusi hantaran Twitter memaklumkan, kenderaan mewah dipandu seorang wanita itu didapati mempunyai tunggakan sebanyak RM275.65.
"Dah 2023 perangai masih tak berubah. Lagi pengguna culas bayar tol ditahan.
"45 kali terlepas bayar tol, jumlah tunggakan RM275.65 telah dilangsaikan serta-merta," katanya dalam perkongsian yang dimuat naik pada Isnin.
Prolintas dalam hantaran sama turut mengingatkan agar pengguna lebuh raya agar tidak bersikap penting diri.
"Jadikan ini iktibar ya, jangan tiru aksi tak bermoral ni, anda bukan saja menceroboh, perbuatan ini juga membahayakan kenderaan lain," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!