Piala AFF 2022: Vietnam tempah tiket final

Antara aksi menarik pertembungan Vietnam dan Indonesia di Stadium My Dinh, Hanoi sebentar tadi.
Antara aksi menarik pertembungan Vietnam dan Indonesia di Stadium My Dinh, Hanoi sebentar tadi.
A
A
A

VIETNAM memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri apabila menewaskan Indonesia 2-0 dalam aksi separuh akhir kedua Piala AFF 2022 di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi sebentar tadi.

Kemenangan itu menyaksikan Vietnam menempah tiket final dengan agregat 2-0 selepas kedua-dua pasukan terikat seri tanpa jaringan dalam aksi separuh akhir pertama di Gelora Bung Karno, Jakarta Jumaat lalu.

Dalam aksi di Hanoi sebentar tadi, skuad Naga Emas bermula garang sebaik wisel permulaan dibunyikan apabila mendahului Indonesia seawal minit kedua menerusi jaringan penyerang tinggi lampai, Nguyen Tien Linh.

Seakan-akan tersentak dengan jaringan awal Vietnam, Indonesia kembali mengatur langkah dengan melancarkan beberapa serangan ke kubu tuan rumah.

Namun, kontroversi tercetus apabila skuad Garuda kendalian Shin Tae-yong itu dinafikan sepakan penalti oleh pengadil dari Jepun, Yusuke Araki pada minit ke-24 apabila Dendy Sulistyawan dikasari Doan Van Hau.

Lima minit berselang, Vietnam hampir menambah jaringan menerus Van Hau, namun sepakan percuma yang diambilnya hanya mengenai tiang gol Indonesia.

Aksi semakin panas apabila pertahanan Indonesia, Asnawi Mangkualam mengasari Van Hau pada minit ke-34 sehingga mengakibatkan pemain kedua-dua pasukan bertikam lidah.

Susulan itu, Asnawi dilayangkan kad kuning atas kekasarannya terhadap Van Hau. Beberapa minit kemudian, giliran Van Hau pula dikenakan kad kuning selepas melakukan kekasaran terhadap pemain lawan.

Artikel Berkaitan:

Sebaik babak kedua bersambung, Tien Linh sekali lagi menggamatkan stadium apabila menanduk masuk bola hasil sepakan sudut pada minit ke-47.

Terdesak memburu jaringan, Tae-yong memasukkan Witan Sulaeman dan Ricky Kambuaya bagi menambah sengat jentera serangan Indonesia.

Namun, sebaliknya berlaku apabila Vietnam hampir menambah gol ketiga menerusi Pham Tuan Hai pada minit ke-59 tetapi rembatannya berjaya ditangkap penjaga gol Indonesia, Nadeo Argawinata.

Beberapa minit kemudian, giliran Nguyen Quang Hai pula menguji Argawinata, namun tonggak Vietnam itu kecewa apabila percubaannya gagal menerjah gawang Indonesia.

Dalam tempoh 20 minit terakhir perlawanan, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan tetapi keputusan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Dengan kejayaan itu, Vietnam kini hanya menanti pemenang satu lagi aksi separuh akhir antara Malaysia dan Thailand sebelum membuat perhitungan di pentas final.

Malaysia yang meraih kemenangan 1-0 ke atas Thailand dalam aksi separuh akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu lalu, akan bertandang ke Stadium Thammasat, Bangkok bagi mengharungi perlawanan separuh akhir kedua malam esok.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!