Pan Gon idam bawa Harimau Malaya muncul juara Piala AFF
KETUA jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon, mengakui menjuarai Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 menjadi sasaran pentingnya bersama skuad Harimau Malaya.
Ia diakui Pan Gon menjelang kemuncak pertembungan untuk slot final menentang juara bertahan Thailand pada perlawanan separuh akhir kedua Piala AFF 2022 di Stadium Thammasat di sini, malam esok.
Jurulatih dari Korea Selatan berusia 53 tahun yang dilantik pada Januari tahun lalu, berkata, jika Malaysia mara ke final kali ini, adalah satu penghormatan baginya untuk menggembirakan peminat bola sepak negara sebelum bertarung untuk mencapai kejuaraan.
"Secara peribadi bagi saya Piala AFF adalah kejohanan yang sangat menarik, ketika saya di Hong Kong dan Korea Selatan, saya berminat untuk menyaksikan kejohanan ini. Apabila dilantik sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan, menjadi juara Piala AFF adalah antara salah satu sasaran penting.
"Jika kita ke final, ia merupakan satu penghormatan besar bagi membanggakan penyokong Malaysia,” katanya pada sidang media praperlawanan di sini pada Isnin.
Mengulas mengenai perlawanan esok, walaupun bersyukur dengan kemenangan 1-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu lalu, Pan Gon berkata, pemainnya perlu sentiasa fokus dan peka dengan kemampuan skuad Gajah Perang terutama ketika beraksi di gelanggang sendiri.Bagaimanapun, katanya, skuadnya sudah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk perlawanan esok.
"Kami mempunyai kelebihan tetapi kami sedar sepenuhnya bahawa perlawanan di tempat lawan adalah sangat sukar, namun kami telah pulih dari segi mental dan fizikal serta bersedia untuk perlawanan esok. Semua sudah bersedia dan penuh keyakinan untuk menentang Thailand...kami mahu memperoleh keputusan yang baik,” katanya.
Sementara itu, pemain tengah, Stuart Wilkin, berkata mereka tidak boleh hanya bermain secara bertahan, sebaliknya perlu mencari gol awal untuk terus memberi tekanan kepada lawan.
"Menjelang perlawanan ini, kami tahu bukan mudah bermain di tempat lawan menentang pasukan Thailand yang bagus tetapi sudah tentu kami mencari gol untuk menekan mereka, ia akan menjadi satu cabaran tetapi sesuatu yang perlu kami lakukan,” kata pemain Sabah FC berusia 24 tahun itu.
Berbekalkan satu gol, skuad Harimau Malaya hanya memerlukan keputusan seri untuk mengesahkan tempat ke final Piala AFF 2022.
Sementara itu, Vietnam mara ke final Piala AFF 2022 selepas menewaskan Indonesia 2-0 pada aksi separuh akhir kedua di Stadium My Dinh, Hanoi, malam ini.
Vietnam merakam agregat 2-0 selepas aksi pertama di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, Jumaat lalu berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan. - Bernama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!