Belum ada keputusan selesai kemelut politik Sabah - Bung Moktar
KOTA KINABALU - Belum ada sebarang keputusan dibuat bagi menyelesaikan kemelut politik di Sabah sebaliknya perbincangan masih dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pemimpin parti politik di negeri ini.
Ketua Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, Anwar dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah bertemu dengan mereka untuk membincangkan kemelut politik di negeri ini.
"Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri telah berjumpa dengan kita dan membincangkan mengenai isu-isu kemelut politik negeri Sabah dan kita telah menyerahkan pandangan kita kepada Yang Amat Berhormat untuk berbincang dengan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan kita tunggulah dia punya hasilnya, itu sajalah.
"Belum ada (keputusan), sekarang Perdana Menteri di Sri Gaya (kediaman rasmi Ketua Menteri), bagus kamu tunggu sana tanya dia," katanya secara berseloroh kepada pemberita di sebuah hotel di sini, pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas hasil pertemuan dengan Anwar bersama pemimpin parti politik di hotel berkenaan.
Bung Moktar berkata, beliau sentiasa positif untuk memastikan kemakmuran rakyat dan negeri Sabah.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan hanya Perdana Menteri yang mengetahui penamat bagi kemelut politik yang melanda Sabah.
"Perdana Menteri yang tahu. Memang dia serah kepada pimpinan Sabah tetapi dia berunding dulu, dia perunding kan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!