Peng Soon-Liu Ying tiada tekanan
BEREGU campuran negara, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying yang bakal membuat penampilan terakhir sebelum menggantung raket tidak meletakkan sebarang sasaran pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2023 bermula Selasa.
Baik Peng Soon mahupun Liu Ying, mereka menganggap keputusan perlawanan bukan keutamaan, sebaliknya mahu menikmati sebaiknya setiap detik pada kejohanan bertaraf Jelajah Dunia Super 1000 itu.
Peng Soon berkata, dia dan Liu Ying tidak melakukan sebarang persiapan khusus bagi menghadapi Terbuka Malaysia 2023 yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil bermula Selasa.
“Corak permainan kami tidak banyak berubah. Sejak beberapa minggu lalu, kami hanya berlatih untuk membentuk semula keserasian di tengah gelanggang.
“Kami telah bergandingan selama 13 tahun, selepas berpisah kami kembali bergandingan bersama. Saya rasa gembira apabila dapat kembali bergandingan dengan Liu Ying,” katanya.
Bagi Liu Ying pula, dia sudah bersedia dari segi fizikal dan mental menghadapi Terbuka Malaysia yang dianggapnya amat bermakna dan mempunyai pelbagai kenangan menarik.
“Acara pertama saya mula bergandingan dengan Peng Soon ialah Terbuka Malaysia 2008 dan acara terakhir dalam kerjaya saya juga Terbuka Malaysia bersama Peng Soon.
“Ia amat bermakna kepada kami. Saya memang mempunyai banyak perasaan, tetapi saya mahu menikmati permainan dengan sebaiknya,” ujarnya.
Dalam aksi pusingan pertama pada Selasa, Peng Soon-Liu Ying yang kini menduduki ranking ke-47 dunia bakal berdepan gandingan Indonesa, Rehan Naufal Kusharianto-Lisa Ayu Kusumawati.
Untuk rekod, Peng Soon-Liu Ying dua kali hampir muncul juara Terbuka Malaysia sebelum terpaksa akur dengan gelaran naib juara pada edisi 2013 dan 2016.
Peng Soon-Liu Ying dilabel sebagai beregu campuran terbaik pernah dimiliki Malaysia susulan kejayaan mereka memenangi pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!