2,958 haiwan liar berjaya dirampas

Senjata yang digunakan pemburu haram bagi menangkap binatang liar yang berjaya dirampas.
Senjata yang digunakan pemburu haram bagi menangkap binatang liar yang berjaya dirampas.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) merampas 2,958 ekor haiwan liar hasil daripada 1,018 operasi membanteras kegiatan penyeludupan dan pemburuan haram di Semenanjung Malaysia pada tahun lalu.

Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, sepanjang operasi terbabit, pihaknya telah merampas 114 ekor haiwan daripada spesies mamalia serta 344 bahagian.

Selain itu katanya, bagi spesies reptilia melibatkan rampasan 1,528 ekor manakala spesies aves (haiwan bersayap) sebanyak 1,316 ekor.

Perhilitan menyelamatkan seekor beruang matahari yang terkena jerat di kawasan hutan di Ulu Bernam, Selangor pada tahun lalu.
Perhilitan menyelamatkan seekor beruang matahari yang terkena jerat di kawasan hutan di Ulu Bernam, Selangor pada tahun lalu.

“Bagi kategori spesies mamalia, rampasan membabitkan harimau belang, kijang, babi hutan dan musang pulut. Spesies reptilia pula adalah ular sawa, iguana, kura-kura katup serta biawak air.

“Untuk spesies aves yang dirampas pula terdiri daripada burung murai batu, bayan puling, bayan serindit serta rose ring parakeet,” ujarnya.

Menurutnya, penguatkuasaan yang dijalankan meliputi Operasi Jerat, Operasi Perniagaan, Operasi Penyeludupan, Operasi Pameran, Operasi Khas, Operasi Jenayah Siber serta sekatan jalan raya.

“Operasi dijalankan dengan kerjasama pelbagai agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta Orang Asli yang dilantik sebagai renjer hidupan liar.

Artikel Berkaitan:

Antara jerat yang digunakan bagi memerangkap burung atau binatang liar kecil.
Antara jerat yang digunakan bagi memerangkap burung atau binatang liar kecil.

“Menerusi Op Jerat, sebanyak 552 jerat pelbagai jenis seperti jerat besi, jerat sembat, perangkap kotak, perangkap jatuh, perangkap lubang dan belantik telah dirampas.

“Bahaya jerat juga boleh menyebabkan kecacatan pada hidupan liar selain menjadi satu peralatan bagi pemburu haram,” katanya kepada Sinar Harian.

Tindakan undang-undang

Tegas beliau, Rang Undang-undang Pindaan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Akta 716) telah diwartakan pada 10 Februari 2022.

“Pindaan akta ini meliputi 63 seksyen yang akan dipinda, 7 seksyen dimansuhkan dan 6 seksyen baharu. Pindaan ini juga melibatkan penyelarasan dengan Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) dan peningkatan penalti bagi kesalahan-kesalahan dengan denda maksimum sehingga RM1 juta dan penjara sehingga 15 tahun.

“Ia jelas menunjukkan kami tegas dalam melindungi khazanah negara yang tidak ternilai demi generasi akan datang,” katanya.

Abdul Kadir
Abdul Kadir

Justeru, mana-mana individu yang menjalankan aktiviti kegiatan pemburuan haram, pencerobohan dan pelbagai kesalahan jenayah hidupan liar diingatkan agar menghentikan kegiatan itu atau berdepan tindakan undang-undang.

“Sebarang aduan dan maklumat boleh salurkan kepada Perhilitan di talian 1-800-88-5151 atau e-aduan www.wildlife.gov.my,” jelasnya.


Operasi Penguatkuasaan Perhilitan tahun 2022


Operasi Jerat - 352 Operasi Perniagaan - 443

Operasi Penyeludupan - 69

Operasi Pameran - 55

Operasi Khas - 59

Operasi Jenayah Siber - 15Sekatan jalan raya - 25

JUMLAH OPERASI - 1,018

Bilangan hidupan liar yang dirampas mengikut kategori spesies

- Mamalia - 114 ekor dan 334 bahagian

- Reptilia - 1,528 ekor

- Aves - 1,316 ekor

JUMLAH - 2,958 ekor

Spesies utama yang dirampas

Kategori mamalia

- Harimau belang - 1 ekor dan 2 bahagian

- Kijang - 1 ekor dan 15 bahagian

- Babi hutan - 4 ekor dan 186 bahagianMusang pulut - 66 ekor

Kategori reptilia

- Ular sawa - 144 ekor

- Iguana - 793 ekor

- Kura-kura katup - 6 ekor

- Biawak air - 6 ekor dan 44 bahagian

Kategori aves

- Murai batu - 823 ekor

- Bayan puling - 47 ekor

- Bayan serindit - 68 ekor

- Rose ring parakeet - 23 ekor

Saluran AduanHotline 1-800-88-5151 e-aduan di www.wildlife.gov.my

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!