Tanding atau tidak jawatan tertinggi UMNO diumum minggu depan

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - UMNO dijangka mengumumkan sama ada jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti itu dipertandingkan atau tidak, pada minggu hadapan.

Sumber dalaman parti itu bagaimanapun berpandangan, adalah sukar untuk jawatan Presiden yang kini disandang oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dicabar oleh mana-mana pihak.

"Apabila Datuk Seri Dr Ahmad Zahid sekarang Timbalan Perdana Menteri dan merupakan Presiden, adalah amat susah untuk mana-mana individu melawannya," kata sumber terbabit kepada Sinar Harian pada Isnin.

Sumber itu menambah, dalam UMNO, amat jarang jawatan Presiden dan Timbalan tidak dipertandingkan.

“Tetapi jarang juga orang bertanding. Bila sampai masanya, tidak ramai orang bertanding (jawatan Presiden dan Timbalan). Pernah macam itu,” katanya.

Ujarnya, Presiden UMNO juga pernah 'membuka gelanggang' agar jawatan pertama dan kedua tertinggi parti itu dipertandingkan.

Sebelum ini, beberapa pihak menyuarakan pandangan bahawa dua jawatan tertinggi parti itu perlu dipertandingkan, antaranya Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin yang berpendapat ia harus dilakukan demi maruah parti itu.

“Hari demi hari, semakin kuat kedengaran ura-ura satu usul khas akan dibahas seterusnya diluluskan dalam perhimpunan iaitu jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan dalam Pemilihan UMNO akan datang.

Artikel Berkaitan:

“Sekiranya benar terdapat usaha untuk menghalang kedua-dua jawatan itu dipertandingkan, UMNO dilihat semakin hilang arah dan identiti perjuangan,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed berpandangan sebaliknya dan mahu pemilihan jawatan tertinggi parti itu tidak diadakan.

Nur Jazlan turut memaklumkan, sepanjang sejarah penubuhan 70 tahun UMNO, hanya empat kali pemilihan Presiden berlaku membabitkan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan Ahmad Fuad Hassan (1951); Tun Hussien Onn dan Sulaiman Ahmad (1978); Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Tengku Mohd Hamzah (1987) serta Ahmad Zahid dan empat pencabar (2018).

Ahmad Zahid kemudian dalam sidang akhbarnya dilaporkan sedia dicabar oleh mana-mana calon dalam saingan jawatan nombor satu UMNO pada pemilihan akan datang.

Kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, beliau sebelum ini pernah dicabar oleh dua calon, namun kombinasi undi kedua-dua calon berkenaan tidak mampu menyaingi undi yang diperolehnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!