Piala FA: Arsenal lepasi ranjau Oxford United
PENDAHULU Liga Perdana Inggeris, Arsenal menempah slot pusingan keempat Piala FA berdepan Manchester City selepas menewaskan kelab Divisyen Tiga Oxford United 3-0 hasil jaringan babak kedua Mohamed Elneny dan Eddie Nketiah.
Terdahulu Oxford yang beraksi di Stadium Kassam lebih banyak bertahan pada separuh masa pertama, ternyata memberikan Arsenal beberapa detik membimbangkan sambil mengehadkan separuh peluang Arsenal pada babak kedua.
Namun sebaik kebuntuan dipecahkan Elneny, dengan tandukan peluru dari sepakan percuma Fabio Vieira pada minit ke-63, Arsenal ternyata terlalu kuat untuk Oxford sekali gus gol pertama pemain Mesir itu untuk kelabnya sejak Mei 2021.
Nketiah memastikan kemenangan tujuh minit kemudian hasil satu lagi bantuan daripada Vieira, sebelum dia menjaringkan gol kelimanya dalam lima perlawanan terakhirnya dalam semua pertandingan untuk The Gunners 14 minit sebelum tamat untuk memastikan kemenangan Arsenal.
Kemenangan itu menyaksikan skuad kendalian Mikel Arteta bakal berdepan Manchester City di Stadium Etihad pada 28 Januari.
Arsenal kini telah memenangi 14 perlawanan terakhir Piala FA menentang pasukan dari luar dua bahagian terbaik bola sepak Inggeris.
Wrexham adalah pasukan terakhir yang tidak berada dalam dua liga teratas menyingkirkan Arsenal pada Januari 1992.
"Ia sentiasa sukar untuk menang dalam pusingan ini...
"Anda perlu bersabar dan kami sentiasa menunggu gol pembukaan untuk datang.
"Eddie menjaringkan gol dan menyumbang kepada cara kami bermain dan saya gembira untuknya. Dia mesti menjaringkan gol dan dia melakukannya," kata Arteta.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!