Pemandu maut, 8 penumpang cedera bas langgar lori terbabas
KULAI - Seorang pemandu bas ekspres maut manakala lapan penumpang cedera ringan selepas terlibat kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 32.5 Lebuhraya Utara Selatan arah utara dekat sini pada Isnin.
Kemalangan pada jam 9.30 malam itu mengakibatkan pemandu bas, Ismail Tapah yang berusia 65 tahun cedera parah di kepala dan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tok Beng Yeow berkata, lapan penumpang bas tersebut pula cedera ringan manakala pemandu lori dan sebuah kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila lori yang sedang bergerak dalam perjalanan ke arah utara telah terbabas di tengah jalan dan tersangkut di bahagian tengah besi pembahagi jalan.
"Kemudian datang bas dari arah sama tidak sempat mengelak dan melanggar lori berkenaan dari arah belakang," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, akibat pelanggaran itu, bas berkenaan terbabas dan masuk ke parit kiri jalan, manakala sebuah kereta turut melanggar lori tersebut kerana tidak sempat mengelak.
Tambahnya, kenderaan dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) Senai di sini untuk pemeriksaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai, Penolong Penguasa Bomba Fairuz Helmi Mohd Ali berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Negeri Johor menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu melalui talian MERS 999 pada jam 10.17 malam.
Berikutan itu katanya, seramai 22 anggota dari BBP Kulai dan BBP Skudai dibantu lima jentera dikejarkan ke tempat kejadian.
"Kemalangan melibatkan sebuah lori Isuzu dan sebuah bas. Terdapat pemandu dan lapan penumpang dalam bas serta dua mangsa dalam lori. Pemandu bas disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang hadir.
"PKO bertindak mengeluarkan tiga mangsa yang cedera dan semua mangsa cedera dihantar ke hospital menggunakan ambulans manakala mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi tamat pada jam 12.42 tengah malam," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!