Tak sempat brek punca treler rempuh 9 kenderaan

Keadaan nahas yang berlaku di lebuh raya dekat Kampar pada Isnin melibatkan tiga treler dan tujuh kereta. - Foto Bomba Perak
Keadaan nahas yang berlaku di lebuh raya dekat Kampar pada Isnin melibatkan tiga treler dan tujuh kereta. - Foto Bomba Perak
A
A
A

KAMPAR - [DIKEMAS KINI] Gara-gara tidak sempat menekan brek, sebuah treler merempuh sembilan kenderaan yang berhenti akibat jalan sesak di Kilometer 307.8 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, dekat sini pada Isnin.

Kejadian sekitar jam 10.40 malam itu mengakibatkan dua treler dan tujuh kereta iaitu Perodua Alza, Volkswagen, Honda Civic, Toyota Yaris, Perodua Aruz, BMW dan Honda CRV masing-masing mengalami pelbagai kerosakan.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, kejadian bagaimanapun tidak melibatkan kemalangan jiwa.

Menurutnya, setakat ini hanya pemandu kereta Honda Civic dan Toyota Yaris dilaporkan cedera, manakala mangsa lain belum dikenal pasti kerana telah dihantar ke hospital oleh orang awam.

"Siasatan awal mendapati, pemandu treler berusia 36 tahun itu tidak sempat menekan brek ketika melalui laluan berselekoh sebelum merempuh kenderaan yang berhenti akibat jalan sesak.

"Akibat pelanggaran itu, dua treler dan tujuh kereta yang berada di laluan sama saling melanggar belakang setiap kenderaan lain hingga mengalami pelbagai kerosakan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Rempuhan treler menyebabkan sembilan kenderaan saling berlanggar dan mengalami pelbagai kerosakan. - Foto Bomba Perak
Rempuhan treler menyebabkan sembilan kenderaan saling berlanggar dan mengalami pelbagai kerosakan. - Foto Bomba Perak

Beliau berkata, ujian saringan air kencing telah dibuat ke atas pemandu treler berkenaan dan mendapati negatif daripada sebarang pengambilan dadah dan alkohol.

Artikel Berkaitan:

Katanya, polis juga telah merakam percakapan ke atas semua mangsa yang terlibat.

"Kemalangan menyebabkan kesesakan berlaku hampir 10 kilometer, namun penyuraian kenderaan selesai dibuat pada jam 3.15 pagi.

"Siasatan lanjut mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!