PR1MA sumbang bantuan banjir RM900,000
KUALA LUMPUR - Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) menyumbang barangan keperluan bernilai RM900,000 kepada mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu.
Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, sumbangan itu meliputi 1,000 set (tujuh barang) dan 800 set (sembilan barang) meliputi barangan keperluan banjir dan kelengkapan membersih.
“Barangan seperti food pack, mop, penyembur air (water jet), kain pelikat ada dalam sumbangan yang bakal diagihkan.
“Kesemua bantuan ini akan diagihkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) agar dapat diterima oleh mereka yang memerlukan dengan adil,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mewakili Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selepas melepaskan konvoi bantuan berkenaan di pekarangan Pusat Dagangan Kuala Lumpur (WTC), pada Selasa.
Turut hadir, Pengerusi PR1MA, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya.
Ujar beliau, ia adalah usaha amat baik dilakukan oleh PR1MA dalam membantu rakyat ditimpa musibah menerusi tanggungjawab sosial korporatnya.
“Ketika Kelantan dan Terengganu ditimpa musibah, syarikat Menteri besar Diperbadankan (MBI) turut membantu,” katanya.
Ahmad berkata, pada awal Disember lalu, beliau telah turun padang ke empat daerah di Kelantan dan Terengganu.
“Saya bersama Malaysia Rail Link anak syarikat Kementerian Kewangan telah turun mengagihkan bantuan ke Tumpat, Pasir Putih, Besut dan Kemaman.
“Saya menyeru agar agensi GLC,GIC meneruskan usaha memberikan bantuan kepada rakyat yang ditimpa musibah,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!