PAU: Ahli, perwakilan perlu berfikir secara rasional

Nur Jazlan
Nur Jazlan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed menggesa seluruh ahli dan perwakilan parti membuat pertimbangan secara rasional ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang akan bermula Rabu ini.

Katanya, PAU yang akan berlangsung sehingga Sabtu ini adalah platform terbaik untuk tidak melayan sesetengah pihak yang mahu kedudukan Presiden dan Timbalan Presiden dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang.

"Saya meminta seluruh ahli dan perwakilan UMNO membuat pertimbangan bukan mengikut hawa nafsu. Usah dilayan keghairahan sesetengah pihak yang mahu mencabar kedudukan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan UMNO akan datang.

"Ketika ini, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohamad Hassan merupakan penyandang jawatan nombor satu serta nombor dua dalam UMNO.

"Bagi saya tiada keperluan untuk kedudukan mereka yang berjasa memulihkan UMNO sejak 2018 itu diganggu gugat semata-mata untuk memenuhi cita-cita politik orang tertentu dalam UMNO," katanya menerusi ketika dihubungi pada Selasa.

Nur Jazlan yang merupakan Ketua Bahagian UMNO Pulai menambah, kedudukan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO dalam Kerajaan Perpaduan pada masa kini harus digunakan untuk mengukuhkan parti.

"Dalam keadaan UMNO diberikan kedudukan stabil dalam Kerajaan Perpaduan hari ini, biarlah Ahmad Zahid dan Tok Mat Hassan menggunakan keberadaan mereka dalam kerajaan untuk memperkukuhkan semula keyakinan rakyat kepada UMNO melalui pelbagai pendekatan.

"Tempoh sekarang ini sehingga lima tahun akan datang adalah penting untuk UMNO terus kukuh dan stabil bagi membina semula kekuatan dalaman parti," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tegasnya, setiap kali berlaku pertembungan dengan penyandang jawatan, setiap kali itulah berlaku perpecahan dan UMNO semakin lemah.

"Sejarah UMNO sendiri jelas menyaksikan apabila penyandang jawatan Presiden dicabar, pasti berlaku perpecahan dalam parti.

"Lihat saja bagaimana Ahmad Fuad Hassan yang melawan Tunku Abdul Rahman pada tahun 1951. Jangan lupa tentang kisah Sulaiman Palestin yang menentang Tun Hussien Onn pada 1978 dan Tengku Razaleigh mencabar Tun Mahathir pada 1988. Semuanya merajuk dan tinggalkan UMNO untuk buat parti lain.

"Situasi itu berbeza pada tahun 2018 apabila kerusi Presiden dan Timbalan kosong dan amat sesuai untuk dipertandingkan tapi hari ini dengan kedua-dua kerusi itu sudah ada penyandangnya, maka bagi saya tak perlulah ia dipertandingkan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!