Pulau Pinang sasar 100 peratus pembayaran tanpa tunai
GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang menyasarkan 100 peratus pembayaran secara tanpa tunai melibatkan agensi kerajaan dapat dicapai menjelang tahun 2030.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, sejak 1 Januari hingga November tahun lalu, kesemua jabatan dan agensi pemungut hasil kerajaan negeri telah berjaya memungut sebanyak 2.1 juta bilangan transaksi iaitu 71.99 peratus daripada jumlah bilangan transaksi keseluruhannya.
Menurutnya, ia melibatkan nilai kutipan hasil yang diperolehi sepanjang 2022 adalah RM620.16 juta iaitu 50.16 peratus daripada nilai kutipan hasil.
"Usaha dalam mengimplikasikan pembayaran secara tunai ini telah dilaksanakan sejak dua tiga tahun yang lalu. Mungkin penularan pandemik telah mempercepatkan proses ini.
"Bagi meneruskan agenda transformasi digital di Pulau Pinang, kerajaan negeri akan mempergiatkan usaha memperkenalkan inisiatif pembayaran tanpa tunai pada masa terdekat khususnya di tempat-tempat tertentu antaranya tempat pelancongan, perniagaan penjaja gerai dan perniagaan dalam serta sekitar kawasan Komtar," katanya ketika ditemui di Majlis Pelancaran Kempen Hari Tanpa Tunai Bagi Jabatan dan Agensi Kerajaan Pulau Pinang di Komtar di sini pada Selasa.
Kon Yeow berkata, pembayaran tanpa tunai telah dijadikan dasar untuk agensi kerajaan negeri namun ia belum diwajibkan pelaksanaannya.
"Walaupun ia hanya digalakkan, kita sudah capai 72 peratus bilangan transaksi. Sasaran kita adalah 100 peratus pada 2030 namun bagi saya, tidak perlu tunggu 2030 sekiranya ada kaedah inovatif baru yang boleh difikirkan bagi menggalakkan penggunaan pembayaran tanpa tunai dalam kalangan rakyat.
"Misalnya Jabatan Imigresen sudah 100 peratus melaksanakan pembayaran tanpa tunai. Jadi sebagai dasar, ia boleh dilakukan untuk mencapai matlamat lebih cepat. Kita belum sampai tahap wajib lagi dari segi undang-undang tetapi kita galakkan," katanya.
Beliau menambah, pelaksanaan perkhidmatan e-pembayaran itu juga akan dapat meningkatkan hasil kutipan kerajaan negeri dan seterusnya menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi Pulau Pinang secara keseluruhan.
"Selain itu, usaha ini juga merupakan kaedah yang terbaik untuk menarik minat pelabur asing untuk melabur di Pulau Pinang. Kerajaan negeri turut mengharapkan kerjasama daripada semua pengguna dan peniaga untuk sama-sama menyokong inisiatif pembayaran tanpa tunai ini dan seterusnya meningkatkan daya saing untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri pintar.
"Selain itu, kerajaan negeri juga telah menubuhkan Digital Penang Corporation yang akan turut membantu mempromosikan proses pendigitalan ekonomi negeri ini kepada peniaga dan rakyat melalui pendekatan yang mesra pengguna untuk meyakinkan mereka bagi mengguna pakai kaedah tapa tunai dalam sebarang transaksi," katanya.
Ujar beliau, inisiatif pembayaran tanpa tunai di Pulau Pinang telah bermula pada April 2020 di Pasar Awam Taman Tun Sardon yang dipilih menjadi projek perintis pasar awam pertama menjalankan transaksi perniagaan tanpa tunai sebagai langkah untuk mengurangkan kontrak atau sentuhan antara pembeli dan peniaga di pasar-pasar awam akibat penularan wabak Covid-19 ketika itu.
"Berikutan kejayaan projek perintis itu, kerajaan negeri telah menjemput 17 institusi perbankan dan pengeluar wang elektronik bukan bank antaranya Maybank, CIMB Bank, Public Bank, Hong Leong Bank, Ambank, Touch n Go Digital, Grab, Boost, Shopee, Razer, WavPay, MCash, KiplePay, GoBiz, iPay88, GHL, Fave dan Paynet untuk memigrasikan e-pembayaran di semua pasar awam di seluruh Pulau Pinang," katanya.
Beliau berkata, bagi menyokong hasrat tersebut, Pulau Pinang akan melaksanakan Kempen Hari Tanpa Tunai bagi jabatan dan agensi kerajaan yang akan dilaksanakan selama tiga bulan pada setiap Jumaat bermula 1 Disember 2022 hingga 28 Februari 2023.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!