Penghantar makanan dituduh amang seksual, miliki gambar lucah
SEREMBAN - Seorang penghantar makanan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban pada Selasa atas pertuduhan amang seksual dan memiliki gambar lucah seorang remaja perempuan, November lalu.
Tertuduh, Suhaiqal Mohd Tahir, 20, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Datin Surita Budin selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa.
Mengikut pertuduhan, tertuduh telah melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa yang berusia 16 tahun.
Kesalahan dilakukan di dalam sebuah kereta Perodua Viva di Jalan Besar Felda Palong 2, Felda Palong 5, Jempol, pada jam 7.30 malam, 29 November lalu.
Berikutan itu, tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 14(a) Akta Seksual Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah akta yang sama.
Sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh juga dikenakan hukuman sebat.
Tertuduh juga didakwa di bawah Seksyen 10 Akta Seksual Kanak-Kanak 2017 iaitu pertuduhan memiliki gambar lucah mangsa di dalam telefon bimbitnya.
Kesalahan itu dilakukan di Pejabat Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Jempol, Jempol pada jam 12.02 tengah malam 1 Januari lalu.
Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah menetapkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan tidak mengganggu mangsa selain perlu melapor diri di balai polis setiap bulan.
Sebutan semula kes untuk serahan laporan perubatan dan forensik pada 16 Februari depan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hafizah Zainul Hashimi manakala tertuduh diwakili Peguam Alif Ahmad Tarmizi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!