Marcote, Cheng Hoe kembali bertaut di Selangor
BEKAS jurulatih Kedah, Ramon Marcote kembali bergandingan dengan Tan Cheng Hoe apabila dinamakan sebagai sebahagian daripada barisan kejurulatihan Selangor FC bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.
Perkara tersebut dimaklumkan Selangor FC dalam kenyataan di laman sesawang kelab itu pada malam Isnin.
Marcote sebelum ini pernah bekerjasama dengan Cheng Hoe di Kedah sebagai jurulatih kecergasan pada tahun 2015 dan nama beliau amat sinonim dalam kalangan peminat pasukan skuad Kenari.
“Pra musim Selangor FC sudah pun bermula pada minggu lalu bagi membuat persiapan menghadapi Liga-M 2023.
“Kelab Gergasi Merah juga telah menandatangani pembantu ketua jurulatih kedua baharu yang pernah membimbing sebuah pasukan dalam kancah bola sepak Malaysia dan memiliki pengalaman yang luas di Eropah, Ramon Marcote Pequeno,” kata kenyataan itu.
Kenyataan itu menyebut, musim baharu ini Gergasi Merah akan terus berdiri teguh di bawah kendalian Cheng Hoe bersama barisan kejurulatihan dan pegawai yang akan sentiasa bersama membantu pasukan sepanjang mengharungi tiga saingan iaitu Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia 2023.
“Bagi barisan kejurulatihan, Selangor FC terus mengekalkan Nidzam Jamil sebagai pembantu ketua jurulatih dan Arulchelvan Illenggo sebagai jurulatih kecergasan di atas bimbingan serta komitmen yang tinggi ditunjukkan oleh mereka musim lalu.
“Nidzam dan Marcote akan bekerjasama bagi membantu Cheng Hoe menyusun strategi dalam memperbaiki kelemahan serta memperkukuhkan kekuatan pasukan bagi menghadapi Liga-M 2023,” katanya.
Pada masa sama, Selangor FC juga membawa masuk seorang lagi wajah baharu bagi membarisi barisan kejurulatihan Gergasi Merah iaitu Fouzi Mukhlas yang menggalas tanggungjawab sebagai jurulatih penjaga gol.
Semasa ketiadaan Cheng Hoe yang menyertai kursus kejurulatihan profesional bersama Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Marcote diberikan tanggungjawab memangku posisi ketua jurulatih skuad Hijau Kuning itu.
Kemudian, jurulatih berasal dari Sepanyol itu secara rasmi dilantik sebagai ketua jurulatih pasukan tersebut selama beberapa bulan pada penghujung tahun 2017.
Marcote merupakan pemilik lesen kejurulatihan UEFA Pro adalah bekas pengendali skuad pembangunan Atletico Madrid pada tahun 2016/2017.
Selain itu, beliau juga pernah membimbing skuad remaja kelab gergasi di Arab Saudi, Al Hilal bawah 15 tahun pada tahun 2021/2022 sebelum ke Ethnikos Achnas di Cyprus sebagai jurulatih.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!