'Gajah tendang adik seperti bola'

Normah (dua dari kiri) ketika ditemui di Rumah Rehat Jakoa pada Selasa.
Normah (dua dari kiri) ketika ditemui di Rumah Rehat Jakoa pada Selasa.
A
A
A

LIPIS - "Adik ditendang seperti bola dan gajah itu menutup tubuh Andy dengan daun-daun jering," kata Borhan Yok Manin, 24, abang kepada remaja Orang Asli yang maut dalam serangan seekor gajah liar di kawasan kebun durian di Kampung Tual, Pos Sinderut pada Isnin.

Dakwa Borhan, situasi menyedihkan itu dilihat oleh rakannya yang dikenali Apin yang memanjat pokok manakala dia berjaya melarikan diri ke arah sebuah bukit berhampiran.

Menurutnya, ketika kejadian dia bersama rakan dan adiknya, Andy, 15, keluar sejak jam 8 pagi dan sedang merayau-rayau di dalam hutan mencari petai sebelum kelibat haiwan liar itu muncul di hadapan mereka.

"Kami semua bertempiaran lari mencari tempat bersembunyi. Ketika itu saya sempat melihat Andy terjatuh dan gajah tersebut terus menyerang adik.

"Kawan saya lihat sendiri gajah tersebut menendang adik saya seperti bola. Hampir sejam gajah liar itu duduk dekat mayat Andy sebelum ia berlalu pergi secara perlahan-lahan.

"Selepas gajah tersebut berlalu, saya bersama rakan segera membawa mayat adik pulang ke rumah," ujar Borhan ketika ditemui di Rumah Rehat Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) di sini pada Selasa.

Dari kiri: Borhan, Normah
Dari kiri: Borhan, Normah

Sementara itu ibu mangsa, Normah Yok Isa, 48, reda walaupun sedih dengan kehilangan anaknya dalam kejadian tersebut.

Jelas Normah, ketika kejadian dia bersama suami ke kebun untuk mencari durian sebelum dikejutkan dengan berita yang menimpa anak kelima daripada tujuh beradik itu.

"Sebaik diberitahu oleh orang kampung, saya bersama suami bergegas pulang ke rumah dan terkejut melihat tubuh Andy yang berlumuran darah," kata Normah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!