Amanah letak calon sihat, cergas hadapi PRN
SHAH ALAM - Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor akan meletakkan calon sihat dan cergas untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Pengarah Komunikasi Amanah Selangor, Wan Anwar Wan Ibrahim berkata, faktor kesihatan merupakan salah satu kriteria penting dalam saringan pemilihan calon.
Menurutnya, aspek kesihatan penting bagi membolehkan wakil rakyat dipilih dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.
"Semasa PRU14 lalu didapati ada wakil rakyat meninggal dunia disebabkan masalah kesihatan dan sebelum PRU15 pun ada calon yang tidak sempat bertanding apabila meninggal dunia secara mengejut.
"Oleh itu, kita berpandangan faktor kesihatan sangat penting dan perlu dititikberatkan. Calon yang bertanding mesti sihat fizikal dan itu menjadi keutamaan," katanya ketika mengulas berhubung persediaan Amanah menghadapi PRN Selangor pada tahun ini.
Wan Anwar bagaimanapun berkata, pengecualian mungkin dilaksanakan terhadap pemimpin yang mempunyai rekod baik dalam perkhidmatan.
"Faktor kesihatan memang keutamaan, namun faktor-faktor lain turut diambil kira. Jika hanya calon itu yang boleh menang di kawasan tersebut, Amanah mungkin akan membuat beberapa pengecualian," katanya.
Berkenaan persediaan PRN Selangor pula, beliau berkata, Amanah yakin Pakatan Harapan (PH) mampu mempertahankan Selangor, namun tidak mengambil mudah tsunami sokongan Melayu terhadap Perikatan Nasional (PN) pada PRU15 lalu.
"Amanah akan selaraskan gerak kerja bersama PH untuk perkukuh jentera selain persediaan kemungkinan bekerjasama dengan BN Selangor susulan pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
"Aspek media dan media sosial juga akan diberikan perhatian dalam memastikan kempen yang dijalankan berkesan dan sampai kepada rakyat," katanya.
Sementara itu, Setiausaha PH Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata, Selangor bersedia menghadapi PRN pada tahun ini dan persiapan telah dijalankan.
"Selangor akan mengadakan Konvensyen Pilihan Raya Parti Keadilan Rakyat (PKR) selama sehari pada 14 Januari ini di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC).
"Selain itu, perbincangan untuk menghadapi pilihan raya juga telah diadakan bersama komponen PH, " katanya.
Tambah beliau, setakat ini tiada rundingan bersama BN mengenai hala tuju PRN Selangor.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!