Thailand yakin jinakkan Harimau Malaya
PENGENDALI Thailand, Alexandre Polking percaya pasukannya mampu mengubah kedudukan dalam perlawanan separuh akhir kedua Piala AFF 2022 menentang Malaysia di Stadium Thammasat, Bangkok malam ini.
Walaupun menjangkakan skuad Harimau Malaya dengan kelebihan satu gol akan tampil lebih garang, Polking berkata, pasukannya mempunyai sasaran jelas untuk mara ke final dan akan memastikan ia menjadi kenyataan.
Katanya, kelebihan beraksi di hadapan penyokong sendiri akan mendorong anak buahnya melaksanakan misi mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada edisi lalu.
"Kami percaya ini adalah permainan baharu, kami menjangkakan pasukan Malaysia yang lebih kuat daripada apa yang mereka lakukan di laman sendiri, ini adalah permainan 180 minit, kami bermain 90 minit dan mereka mendahului 1-0 tetapi kami bermain di laman sendiri sekarang.
"Kami akan mempunyai sokongan padu peminat dan pasti ini akan mendorong kami. Saya percaya kami boleh memulihkan kelemahan satu gol yang kami ada sekarang," katanya.
Jurulatih kacukan Brazil-Jerman berusia 46 tahun itu menambah: "Kami akan melakukan perkara yang sama seperti yang kami lakukan dua hari lalu, jika kami boleh mengulangi bahawa saya percaya kami akan ke final."
Skuad Gajah Perang tiada pilihan lain selain harus menewaskan Malaysia yang hanya memerlukan keputusan seri untuk layak ke final bertemu Vietnam.
Bagaimanapun, Polking berharap mutu pengadilan yang baik pada perlawanan esok terutama dari aspek memberi masa tambahan selepas mendakwa pengadil tidak memberikan tempoh sewajarnya pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin, yang menyaksikan mereka tewas 0-1.
Malah, beliau secara peribadi merasakan gol kedua Malaysia yang dijaringkan Dominic Tan dalam perlawanan itu sepatutnya dibenarkan.
"Ini adalah isu besar (kualiti pengadil) dan saya sudah bercakap dengan beberapa orang, dengan pengurus kami sekurang-kurangnya cuba dalam mesyuarat untuk menyatakan kepada pengadil bahawa kami menjangkakan standard yang lebih tinggi," katanya.
Sementara itu, kapten Thailand, Theerathon Bunmathan mengucapkan terima kasih kepada penyokong tempatan selepas tiket perlawanan esok habis terjual dan berharap dapat meraikan keputusan positif bersama penyokong di penghujung perlawanan.
"Kami memberi tumpuan sepenuhnya pada masa ini dan kami berharap kami akan meraikan bersama penyokong esok (hari ini)," kata pemain pertahanan berusia 32 tahun itu.
Vietnam mara ke final selepas menundukkan Indonesia 2-0 pada aksi separuh akhir kedua di Stadium My Dinh, Hanoi pada Isnin.
Vietnam mencatatkan kemenangan agregat 2-0 selepas seri tanpa jaringan pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Gelora Bung Karno di Jakarta, Jumaat lalu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!