Jepun buat pemeriksaan mengejut di semua tapak warisan negara
TOKYO - Jepun melancarkan pemeriksaan mengejut ke atas semua tapak warisan budaya di negara itu, ekoran insiden kebakaran besar di Gereja Notre Dame, mercu tanda bersejarah di Perancis, lapor agensi berita Sputnik.
"Berdasarkan hasil pemeriksaan, langkah-langkah keselamatan mencegah kebakaran yang komprehensif akan dibangunkan," kata Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Yoshihide Suga pada Rabu.
Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Sukan, Sains dan Teknologi Jepun telah mengeluarkan arahan mengenai langkah pencegahan kebakaran kepada 289 tapak khazanah negara dan 4,744 tapak warisan budaya.
Kebakaran besar yang berlaku pada Isnin petang itu menyebabkan bumbung gereja rosak teruk.
Suga berkata Jepun bersedia menghulurkan bantuan jika diperlukan Perancis.
Presiden Perancis Emmanuel Macron menyifatkan malapetaka itu sebagai "tragedi ngeri" dan berjanji untuk membina semula gereja berusia 850 tahun itu.
UNESCO) dan beberapa negara serta syarikat Eropah di seluruh dunia menyuarakan kesediaan untuk membantu membina semula Notre-Dame de Paris. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!