Kumpulan lelaki ceroboh Menara Merdeka 118 sudah ditahan, didakwa
SHAH ALAM - PNB Merdeka Ventures Sdn Berhad (PMVSB) memaklumkan sekumpulan lelaki yang menceroboh Menara Merdeka 118 seperti tersebar dalam satu video di sosial media baru-baru ini sudah ditahan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan didakwa.
Menurut anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) itu, insiden tersebut berlaku pada 1 Mei tahun lalu dan kesemua penceroboh telah didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan pada hari yang sama.
“Kami ingin menekankan bahawa aksi ini menyalahi undang-undang dan berbahaya, sekali gus merisikokan keselamatan penceroboh dan juga pekerja-pekerja di tapak pembangunan.
“Oleh yang demikian, kami menyelar segala perbuatan haram yang dilakukan di tapak pembangunan ini untuk meraih keuntungan komersial dan populariti secara haram,” menurut PMVSB dalam satu kenyataan pada Selasa.
Media tempatan pada Selasa melaporkan mengenai satu video berdurasi selama 7 minit 18 saat yang dikongsikan kumpulan pencipta kandungan YouTube, Driftershoots mengenai pencerobohan dilakukan mereka terhadap menara tertinggi di Malaysia.
Kumpulan itu mendakwa perbuatan itu dilakukan pada 30 Disember lalu dan menerusi video tersebut, mereka turut memaparkan adegan meraikan kejayaan selepas menawan Menara Merdeka 118 di bilik hotel mereka.
Sebelum itu, video terbabit menunjukkan bagaimana kumpulan berkenaan terdiri daripada sekurang-kurangnya empat individu, termasuk dua daripada mereka dikaburkan muka, menyelinap ke tapak bangunan itu dengan memakai jaket seperti pekerja binaan.
Mereka kemudian memotong jaring keselamatan yang digunakan untuk menutup laluan masuk ke puncak menara, sebelum memanjat bangunan itu menuju ke puncak.
Dalam pada itu, PMVS turut menegaskan bahawa tapak Menara Merdeka 118 masih aktif dengan kerja pembinaan dan syarikat itu sentiasa memberikan keutamaan terhadap tahap keselamatan.
“Justeru, PNBMV akan terus mempertingkatkan kawalan keselamatannya. Menceroboh merupakan kesalahan jenayah yang boleh dihukum oleh undang-undang dan sesiapa yang didapati bersalah atas perbuatan ini akan dikenakan tindakan sewajarnya,” ujar kenyataan itu lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!